Kerap dipinggirkan, Salah diramal tinggalkan Liverpool

Kerap dipinggirkan, Salah diramal tinggalkan Liverpool

Kerap dipinggirkan, Salah diramal tinggalkan Liverpool


BEKAS bintang Liverpool, Jamie Redknapp mengakui beliau akan ‘terkejut’ sekiranya Mohamed Salah kekal di Anfield sehingga tamat kontraknya dan mendakwa hubungan penyerang sensasi itu dengan kelab kini berada di tahap ‘kritikal’.

Pengulas sukan Sky Sports itu turut membayangkan bintang antarabangsa Mesir itu mungkin meninggalkan The Reds seawal Januari ini.

Redknapp meluahkan kebimbangan bahawa kemelut antara Salah dan Liverpool bakal berakhir dengan perpisahan pahit selepas pemain itu diletakkan di bangku simpanan untuk dua perlawanan berturut-turut.

Terbaharu, Salah hanya dimasukkan pada separuh masa kedua dan gagal membawa impak besar ketika Liverpool terikat seri 1-1 menentang Sunderland.

Pada April lalu, Salah telah menandatangani kontrak baharu yang mengikat masa depannya di Merseyside sehingga tahun 2027. Perjanjian itu dimeterai susulan prestasi cemerlangnya membantu Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu dengan rekod 29 gol dan 18 bantuan gol dalam 38 penampilan.

Bagaimanapun, prestasi Salah dilihat merosot mendadak musim ini, seiring dengan pergelutan skuad kendalian Arne Slot yang kini berdepan tekanan akibat siri keputusan mengecewakan.

Penurunan prestasi Salah, yang selama ini menjadi sandaran utama penyokong The Reds, menyebabkan beliau disisihkan daripada kesebelasan utama Slot dalam dua aksi terakhir.

Menurut Redknapp, situasi ini menandakan hubungan kedua-dua pihak telah sampai ke jalan buntu.

“Dia adalah legenda Liga Perdana dan legenda Liverpool, sebab itulah saya rasa perkara ini tidak akan berakhir dengan baik.

“Situasi kini menjadi sukar kerana pengurus berdepan dengan pemain yang begitu penting di dalam bilik persalinan. Salah tidak menandatangani kontrak baharu untuk duduk di bangku simpanan. Dia mahu bermain setiap minggu.

“Saya akan berasa amat kagum jika dia menghabiskan baki dua tahun kontraknya. Tiada apa yang mengejutkan dalam bola sepak – sama ada dia pergi pada Januari atau musim panas nanti,” katanya kepada Sky Sports.

Mengulas mengenai destinasi seterusnya, Redknapp percaya keputusan terletak sepenuhnya di tangan Salah.

“Ramai yang menjangkakan dia ke Arab Saudi atau Amerika Syarikat, tetapi bagi saya ini adalah titik putus dalam hubungan mereka. Tiada siapa yang tidak boleh digantikan, masa tidak menunggu sesiapa, dan keadaannya kini semakin sukar,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Jamie Redknapp terkejut jika Mohamed Salah kekal di Liverpool hingga tamat kontrak
  • Salah dan Liverpool dalam tahap hubungan ‘kritikal’
  • Kemelut antara Salah dan Liverpool mungkin berakhir dengan perpisahan pahit
  • Prestasi Salah merosot mendadak musim ini
  • Redknapp percaya Salah mungkin meninggalkan Liverpool seawal Januari ini



Source link

OR

Scroll to Top