Kuala Lumpur: Persatuan Skuasy Raket Kebangsaan (SRAM) menjangkakan gelanggang di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil yang sedang menjalani proses akhir naik taraf bakal digunakan menjelang suku pertama tahun hadapan.
Presiden SRAM, Gerard Monteiro berkata, fasa akhir itu melibatkan proses penggantian gelanggang selepas kerosakan berlaku semasa kerja-kerja baik pulih bumbung dijalankan sebelum ini.
“Bumbung, sistem penyaman udara dan paip semua sudah selesai.
“Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memerlukan peruntukan tambahan dan memanggil tender baharu untuk baik pulih gelanggang,” katanya.
Venue berkenaan bakal menempatkan masing-masing lima gelanggang kaca dan biasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, geran berjumlah RM1 juta yang diterima daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan difokuskan kepada pembangunan pemain remaja dan program akar umbi.
“Ia akan digunakan bagi menampung kos penyertaan pemain dalam kejohanan antarabangsa bagi meningkatkan tahap permainan dan pendedahan mereka pada peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sebahagian daripada geran berkenaan turut diagihkan kepada persatuan skuasy negeri.
© New Straits Times Press (M) Bhd