ISKANDAR PUTERI – Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya masih belum memutuskan sama ada akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2027.
Beliau berkata, gabungan politik itu masih dalam pertimbangan dan keputusan tersebut akan diumumkan pihaknya apabila tiba masa.
Menurutnya yang juga Presiden UMNO, apabila sudah diputuskan berkenaan kerjasama itu nanti, pihaknya akan membuat pengumuman.
“Saya akan buat pengumuman apabila tiba masanya,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir Peringkat Akhir Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPLMY) di Kompleks Sukan EduCity, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Hari ini Ahmad Zahid semasa Taklimat Pelaksanaan Projek Pembangunan Negeri Sarawak di Kuching, Sarawak, mengumumkan BN dan PH akan terus bekerjasama pada PRN Sabah akan datang.
Beliau turut memberi jaminan tiada pertindihan kerusi melibatkan kedua-dua gabungan itu akan berlaku dengan logo mengikut parti masing-masing akan digunakan.- MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL