September 8, 2024

Kerjasama dengan pemain industri perkasa sektor digital – Gobind

Kerjasama dengan pemain industri perkasa sektor digital – Gobind


KUALA LUMPUR – Kerajaan komited dan sedia menjalin kerjasama dengan pemain industri digital dalam usaha memperkasa sektor berkenaan di Malaysia.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo telah meminta semua ketua industri berkaitan hadir ke kementerian berkenaan dan memberi pandangan untuk menggariskan dasar digital pada masa akan datang.

Beliau berkata, ia kerana ekosistem yang dibina adalah penting bukan sekadar bagi membolehkan kerajaan mengetahui masalah berkaitan sektor digital sebelum ini tetapi juga untuk melihat cabaran yang bakal didepani.

“Jadi, pengalaman yang mereka dapat daripada perjalanan dahulu hingga sekarang sangat penting supaya kita dapat menyediakan garis panduan untuk kita bergerak ke hadapan.

“Saya berpendapat adalah penting untuk kita memahami bahawa kita tidak boleh melakukan perkara itu secara bersendirian.

“Saya memaklumkan bahawa saya memerlukan bantuan mereka bagi membincangkan cara kita merangka dasar untuk membolehkan Malaysia bergerak ke hadapan dengan input daripada industri dan sudah tentu kerajaan akan membantu sekadar yang termampu,” katanya.

Gobind turut mengulangi keyakinan  pihaknya mampu mencapai sasaran sumbangan ekonomi digital sebanyak 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2025.

Jelas beliau, ia sekiranya semua pihak termasuk rakyat memanfaatkan platform yang disediakan oleh kerajaan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Kita perlu pastikan kita memberikan usaha yang mencukupi untuk memastikan bahawa setiap rakyat Malaysia mahir menggunakan platform-platform digital ini untuk kebaikan dan mengubah cara perniagaan mereka,” katanya.

Menyentuh mengenai majlis itu, Gobind berkata, PC.com mengiktiraf individu dan syarikat untuk menghargai sumbangan mereka kepada industri.

Sementara itu, Editor Urusan,  Syarikat Media Reach Publishing, Selva Rajan berkata, anugerah tahunan PC.com yang diadakan sejak tahun 2000 diiktiraf sebagai acara anugerah berprestij dalam kalangan pemain industri.

“Majlis tahun ini adalah istimewa kerana cabaran yang dihadapi oleh pelbagai perniagaan dan kami mendedikasikan usaha mereka yang memainkan peranan penting dalam menyokong rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Anugerah itu mengiktiraf sumbangan syarikat terkemuka dalam sektor swasta Malaysia yang dipacu oleh pengundian dalam talian pengguna untuk memilih produk dan perkhidmatan jenama di bawah 27 pencalonan kategori selain Anugerah Khas Ketua Pegawai Eksekutif Tertinggi oleh barisan juri. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top