Kerjasama JPG-Fuji Oil Asia Ptd Ltd babit pembangunan awal RM500 juta-MB

Kerjasama JPG-Fuji Oil Asia Ptd Ltd babit pembangunan awal RM500 juta-MB


JOHOR BAHRU – Johor Plantations Group Berhad (JPG) akan mementerai kerjasama dengan Fuji Oil Asia Pte Ltd dari Jepun untuk membina kilang penapisan minyak sawit dan lemak khusus di Johor.

Kerjasama JPG yang merupakan kumpulan syarikat Johor Corporation (JCorp) dengan anak syarikat Fuji Oil Holdings Inc itu merupakan sebahagian daripada Integrated Sustainable Palm Oil Complex (ISPOC) di Pasir Logok, Kota Tinggi.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberitahu, kerjasama tersebut membabitkan nilai pembangunan awal berjumlah RM500 juta dan dijangka siap pada pertengahan 2026.

Menurutnya, kerjasama tersebut dipersetujui semasa delegasi kerajaan negeri mengadakan lawatan ke Fuji Oil Holdings Inc ke Osaka, Jepun semalam.

“Fuji Oil Holdings Inc adalah sebuah syarikat industri minyak dan lemak khususnya dalam pengeluaran bahan makanan dan bahan mentah untuk pelbagai sektor.

“Dalam sesi tersebut, kami turut dibawa melawat ke kilang, termasuk melihat tank terminal, kilang penapisan dan melihat sendiri proses pembuatan coklat di kilang tersebut.

“Mereka juga memperkenalkan beberapa produk yang dijual di pasar raya dan kedai serbaneka yang menggunakan bahan dari Fuji Oil,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata, hasil lawatan itu pihaknya yakin kerjasama berkenaan akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam sektor pengeluaran dan pemprosesan makanan.

Katanya, lawatan itu disusuli dengan perbincangan mengenai latihan dan pembangunan kemahiran untuk tenaga kerja tempatan yang akan meningkatkan daya saing industri di Johor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL



Source link

OR

Scroll to Top