am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerjasama kukuh antara ASEAN dan Republik Korea (ROK) dilihat mampu membentuk satu ekosistem yang membuka peluang baharu, memupuk pertumbuhan inklusif dan pasaran terbuka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menggabungkan potensi pertumbuhan ASEAN dan kekuatan ROK mesti dijadikan tunjang utama untuk menghadapi cabaran global.
Katanya, hubungan kedua-dua pihak yang terjalin lebih tiga dekad lalu kini menjadi contoh kerjasama berasaskan kepercayaan, rasa hormat dan manfaat bersama.
“Walaupun dunia kini berhadapan dengan gangguan teknologi, persaingan strategik dan rantaian bekalan yang semakin berpecah, namun ASEAN dan Republik Korea tetap teguh berdiri.
“Hubungan ASEAN-Republik Korea berkembang menjadi Perkongsian Strategik Komprehensif, mencerminkan keyakinan dan nilai berterusan dalam kerjasama ini,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN–ROK ke-26, di sini, hari ini.
Menurutnya, dunia kini berdepan perubahan besar yang menuntut semua negara mencari jalan ke arah kemajuan melalui semangat kerjasama dan saling percaya.
“Dalam keadaan gangguan teknologi dan rantaian bekalan global yang terpecah, ASEAN dan Korea Selatan kekal sebagai contoh negara yang percaya bahawa kemajuan mesti dicapai melalui kerjasama,” katanya.
Anwar turut berkongsi jumlah perdagangan antara ASEAN dan Republik Korea sudah melebihi AS$200 bilion pada 2024, sekali gus menunjukkan kekuatan dan daya tahan hubungan ekonomi dua hala itu.
“ASEAN menawarkan peluang besar dalam pelbagai sektor, disokong tenaga muda lebih 600 juta penduduk, manakala Republik Korea membawa inovasi, teknologi dan cita-cita kreatif yang terus memberi inspirasi kepada dunia.
“Bersama-sama, kita mampu membentuk daya tahan serantau,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan Pelan Tindakan ASEAN-Korea 2026–2030 yang baru diluluskan sebagai panduan utama untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Nilai sebenar pelan ini bergantung kepada bagaimana kita menggunakannya untuk mencipta peluang baharu, menggalakkan pertumbuhan inklusif dan mengekalkan rantaian bekalan yang stabil,” katanya.
Anwar berkata, pembangunan modal insan yang bersedia untuk masa depan perlu menjadi keutamaan bagi memastikan rakyat di rantau ini mampu memimpin perubahan dan menjadi pencetus kemakmuran bersama.
“Saya berharap perbincangan hari ini akan memperkukuh lagi hubungan kukuh ASEAN dan Republik Korea yang sudah lama terjalin,” katanya mengakhiri ucapan sebelum menjemput Presiden Republik Korea, Lee Jae Myung untuk menyampaikan ucapan pembukaan beliau.
© New Straits Times Press (M) Bhd





