KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Majlis Agama Islam (MAI) 6 Wilayah Andaman, di Farm House Hotel, Ranong, Thailand, semalam.
Baginda merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, majlis itu bertujuan membincangkan pelbagai agenda strategik bagi memperkukuhkan lagi kerjasama antara pihak MAIPs dan Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman yang sedia terjalin sejak 10 tahun lalu melibatkan bidang pengurusan agama, dakwah, dan pendidikan serantau.
Baginda bertitah, antara isu yang dibincangkan pada edisi kali ini ialah hubungan trilateral melalui program Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang turut menjadi fokus.
“Program ini dijangka memperkukuhkan hubungan antara Perlis, wilayah Andaman, dan Muhammadiyah Indonesia, terutamanya dalam aspek pembangunan sosioekonomi dan dakwah. Perbincangan turut menumpukan kepada persiapan Perlis International Sunnah Convention (PISCON), yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 Januari 2025.
“Program ini bakal menjadi platform antarabangsa untuk memperkasa pemahaman sunnah dan menggalakkan penghayatan Islam yang inklusif. Satu cadangan penting yang diketengahkan ialah pewujudan Pusat Aktiviti bagi Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman di Pusat Dakwah MAIPs Perlis Centre of Wisdom, Wisma MAIPs, Kangar.
“Pusat ini dicadangkan menjadi hab bagi pelaksanaan program dakwah dan latihan kepimpinan bagi kedua-dua belah pihak iaitu Perlis dan 6 Wilayah Andaman,” titah baginda.
Dalam bidang pendidikan, baginda menekankan kepentingan promosi peluang pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (UniSIRAJ) yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bagi pelajar dari wilayah Andaman.
Baginda menegaskan bahawa pendidikan berkualiti adalah asas untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak.-UTUSAN