am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), yang berlangsung hari ini membawa makna signifikan apabila negara anggota memperingati lapan tahun pencapaian sejak pelaksanaan Visi Komuniti Asean 2045, satu pelan jangka panjang yang memacu pertumbuhan inklusif, mampan dan didorong inovasi di rantau ini.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr dalam ucapan pembukaan BIMP-EAGA berkata, sejak 2017 kerjasama serantau ini membuahkan hasil yang nyata daripada peningkatan dalam fasilitasi perdagangan dan pelaburan, pengukuhan keterhubungan, jaminan makanan dan tenaga, hinggalah kepada pembangunan eko-pelancongan dan inisiatif hijau.
Katanya, sidang BIMP-EAGA bukan sahaja medan meraikan pencapaian, malah satu peluang untuk semua anggota memperkukuh visi bersama ke arah yang lebih bersepadu, makmur dan berdaya tahan.
“Komitmen negara anggota untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah terus menjadi teras utama agenda kerjasama ekonomi sub-rantau.
“Ia turut menyaksikan pelbagai inisiatif bersama yang semakin matang dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Menjelang ulang tahun ke-30 Kerjasama Ekonomi Sub-Rantau BIMP-EAGA, sidang kemuncak ini turut diserikan dengan tayangan video khas yang menyorot sejarah kerjasama sejak tiga dekad lalu sebagai simbol perpaduan dan tekad politik yang berterusan dalam membentuk landskap ekonomi serantau yang lebih kukuh.
“Jalan ke hadapan memerlukan sinergi, inovasi dan iltizam yang lebih kuat. Saya yakin, dengan semangat kerjasama yang telah terbukti selama ini, kita mampu menjadikan aspirasi ini satu kenyataan yang membawa impak langsung kepada rakyat,” katanya pada ucapan pembukaan BIMP-EAGA pada Sidang Kemuncak Asean ke-16 di sini, hari ini.
Sidang BIMP-EAGA tahun ini dijangka mencetus hala tuju baharu bagi kerjasama sub-rantau, khususnya dalam aspek keterangkuman ekonomi, kebolehcapaian teknologi dan kesinambungan pembangunan, selari dengan dinamik ekonomi Indo-Pasifik.
BIMP-EAGA dilancarkan 26 tahun lalu pada 1994 di Davao City, Mindanao, Filipina.
BIMP-EAGA kerjasama empat negara anggota Asean itu adalah untuk mempercepatkan proses pembangunan dengan memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama.
Jumlah penduduk di kawasan BIMP-EAGA adalah seramai 57.5 juta orang dan ia salah satu kekuatan BIMP-EAGA dengan adanya pasaran dalaman yang begitu besar.
Selain itu, BIMP-EAGA juga terletak dalam kawasan yang amat strategik kerana dikelilingi lautan yang menjadi sebahagian laluan perkapalan intra-Asean dan perdagangan antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd