ISU ARAK adalah isu sejagat. Ia bukan isu politik sempit. Ia adalah isu keselamatan, kesihatan, pendidikan dan lain lain.
Tiada sebarang hujah untuk menobatkan arak itu sebagai hak, melainkan hanya sekadar untuk menjamin keuntungan tauke-tauke arak sahaja.
Arak dan isu kesihatan
Dalam bab kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyatakan kemudaratan alkohol kepada sistem saraf dan otak (neuropsychiatry) yang merupakan kesan jangka panjang alkohol yang paling kerap dilaporkan di kalangan orang dewasa.
Menurut Dr Johari Yap, Dalam Jurnal Lancet (Volume 392, Isu 10152, muka surat 987–988, 2018), artikel ‘No Level of Alcohol Consumption Improves Health’ membincangkan hasil kajian melibatkan 195 negara dari tahun 1990 sehingga 2016.
Dapatan daripada kajian yang dijalankan, menunjukkan alkohol adalah penyumbang besar kepada masalah kesihatan sejagat, tidak kira besar atau kecil kadar pengambilannya.
Daripada 100,000 peserta kajian yang tidak mengambil alkohol, seramai 914 orang mempunyai masalah kesihatan seperti kanser dan ada yang mengalami kecederaan.
Jumlah itu bertambah lima kali ganda bagi mereka yang minum satu gelas minuman beralkohol sehari.
Garis panduan Ketua Pegawai Perubatan United Kingdom pada tahun 2016 menyatakan tidak terdapat kadar selamat untuk pengambilan alkohol (no safe level of alcohol consumption).
Isu keselamatan dan kerugian disebabkan arak
Mengikut rekod yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) jumlah mangsa kematian atau kecederaan parah atau ringan disebabkan pemandu mabuk antara tahun 2010 sehingga 2018 ialah seramai 2391 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 1196 orang telah mati.
Di US, kerugian yang ditanggung oleh kerajaan dan rakyat pembayar cukai disebabkan oleh arak ialah sebanyak USD 429 Bilion. Daripada jumlah kerugian tersebut, 72% kos ialah hasil daripada hilangnya produktiviti kerja, 10% kos tindakan terhadap penjenayah, 11% kos perubatan, 5% kos daripada kemalangan jalan raya.
Kajian ini dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di bawah kementerian kesihatan US pada tahun 2010. Kos terpaksa ditanggung oleh kerajaan menerusi cukai yang dibayar oleh rakyat.
Manakala di Australia, kerugian kos disebabkan arak ialah USD 36 bilion setahun. Kos ini meningkat sekali ganda daripada tahun-tahun sebelumnya. Kajian ini dikeluarkan oleh Yayasan Pendidikan dan Pemulihan Alkohol, Australia pada tahun 2010.
Di Australia juga, nisbah 1 daripada 4 orang rakyatnya berdepan dengan ketagihan arak yang berisiko, 10-15% kes kecemasan berkaitan dengan alkohol, 25% kes jenayah yang ditangani oleh polis barisan hadapan berkaitan dengan alkohol, 1 dari 4 kematian di jalan raya adalah disebabkan alkohol dan 29% keganasan rumah tangga di sebabkan alkohol. Kajian ini dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Australia pada tahun 2019.
Negara-negara yang mengetatkan pengambilan alkohol
New Zealand telah mengisytiharkan Bandar Wellington sebagai zon bebas alkohol sejak 2008 dan diperluaskan pada 2019. Pengharaman alkohol bandar Wellington adalah inisiatif keselamatan untuk:
1. Mengurangkan jenayah dan gangguan berkaitan alkohol
2. Menyediakan persekitaran bandar yang selamat untuk semua orang.
Penyelidikan yang dijalankan oleh Majlis dan Polis mendapati bahawa alkohol merupakan faktor majoriti tangkapan yang dibuat kerana gangguan, keganasan dan kesalahan seksual di bandar.
Selain itu, Auckland juga memperkenalkan Undang-undang Kecil Kawalan Alkohol pada tahun 2014, menghadkan kepada waktu waktu tertentu sahaja. Larangan itu bertujuan mengurangkan jenayah dan kekacauan di tempat awam.
Manakala di Melbourne pula melarang pengambilan alkohol pada hari hari tertentu, dan di lokasi lokasi tertentu. Ia dikawal di bawah Undang-undang Tempatan Aktiviti Kota Melbourne 2024.
Pihak keselamatan dan para doktor perlu bersuara
Sepertimana yang dinyatakan diawal tadi, isu arak bukanlah isu sentimen politik sempit. Sebaliknya ia adalah isu masyarakat sejagat.
Arak bukan juga hanya sekadar perbahasan dalam kalangan umat Islam sahaja. Sebaliknya ia perlu diganeraliskan kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian.
Tanggungjawab untuk bersuara bagi mengurangkan penjualan arak bukan sahaja di kalangan ahli politik Islam. Sebaliknya ia perlu diperjuangkan juga oleh pengamal kesihatan, dan pihak keselamatan.
Ia perlu digembleng bersama atas nama kesedaran untuk membina masyarakat yang bertamadun, mengikut acuan madani yang sebenar.
Allah SWT berfirman;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al Maidah 90)
PANEL PENERANGAN DEWAN ULAMAK PAS NEGERI PERAK – HARAKAHDAILY 26/1/2025