mhafis@mediprima.com.my
Subang Jaya: Polis sudah merakam percakapan seramai 19 orang bagi membantu siasatan pembunuhan seorang wanita yang ditemukan tergantung pada kipas di ruang tamu kediamannya di USJ 2/1 di sini, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, mereka yang dirakam percakapan terdiri keluarga, rakan dan saksi yang boleh membantu siasatan.
“Setakat ini, pihak polis masih meneruskan siasatan bagi mengenalpasti motif sebenar kejadian dan suspek yang terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan suspek kes pembunuhan seorang wanita yang ditemukan tergantung pada kipas di ruang tamu kediamannya di USJ 2/1 di sini, pada Khamis lalu, kemungkinan individu dikenali mangsa.
Wan Azlan dilaporkan berkata, polis tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan siasatan dijalankan.
Bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi, Hospital Serdang mengesahkan punca kematian mangsa adalah pendarahan di sekeliling ‘hyoid bone’ (tulang leher).
Pakar patologi juga mendapati kecederaan yang terjadi pada otot dan tulang mangsa adalah secara ‘manual strangulation.
Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd