am@hmetro.com.my
Ipoh: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu pendakwaan terhadap pegawai polis, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak berkait kes bunuh pelajar, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, dua tahun lalu, dibuat tanpa penyediaan laporan kimia dan bedah siasat.
Perkara itu dimaklumkan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Chua Sze Chuan, 38, dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Saksi pendakwaan ke-32 itu berkata, selain dua laporan itu, pendakwaan di Mahkamah Majistret Ipoh pada 18 Disember 2023 lalu juga dilakukan tanpa penyediaan laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
Bagaimanapun, Chua tidak bersetuju dengan cadangan Mior bahawa pendakwaan dibuat dalam tempoh singkat kerana kes terbabit tular di media sosial.
Terdahulu, pegawai penyiasat itu bersetuju dengan cadangan peguam, M Athimulan bahawa tiada keterangan menunjukkan wujud sebarang pertengkaran antara tertuduh, Mohd Nazri dengan mangsa, Muhammad Zaharif Affendi sebelum perlanggaran antara mereka berlaku, 15 Disember 2023.
Athimulan turut bertanya mengenai pernyataan Chua pada Selasa lalu yang menyatakan beliau menerima arahan pada 17 Disember 2023 supaya Mohd Nazri dituduh secara tentatif mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri, 46, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet bersambung pada esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd