Kes dadah di Kelantan serius, ketiga tertinggi di Malaysia

Kes dadah di Kelantan serius, ketiga tertinggi di Malaysia



am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kes penyalahgunaan dadah di Kelantan disifatkan serius apabila sejumlah 18,507 kes yang dilaporkan tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, angka berkenaan menunjukkan kes penyalahgunaan dadah di Kelantan adalah yang ketiga tertinggi dalam negara selepas Selangor dan Johor.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri berkata, situasi itu tidak hanya membabitkan Kelantan tetapi seluruh negara kerana angka kes tidak jauh berbeza.

“Antara faktor kes penyalahgunaan dadah kerana Kelantan dekat dengan sempadan negara jadi dadah (penyeludup) cepat masuk.

“Faktor kedua kerana rakyat Kelantan lebih sensitif, jadi kebanyakan kes (dadah) dilaporkan yang menyebabkan statistik meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) 2025 di sini, hari ini.

Zamakhsari berkata, beliau percaya usaha pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia Kelantan menutup laluan haram di sempadan sejak 1 Disember lalu dapat membantu mengurangkan jenayah berkaitan isu dadah.

“Selain itu, kita akan melaksanakan sesi libat urus bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pasukan keselamatan bagi memperkasakan Pemadam negeri.

“Libat urus ini kita ada satu sasaran, contohnya hendak kurangkan 10 peratus kes dalam masa beberapa tahun dan ia bergantung kepada libat urus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top