KUALA KUBU BARU: Mahkamah Majistret di sini semalam menangguhkan kes pembunuhan bekas graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah pada 10 Disember ini.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membuat penangguhan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Eirene Nabila Amani Williams memaklumkan pihaknya belum memperoleh laporan kimia bagi kes tersebut.
Peguam bela, Nur Aida Zainuddin yang mewakili tertuduh, Muhammad Alif Monjani, 26, tidak membantah permohonan tersebut.
“Pihak pembelaan tiada bantahan dan mohon satu tarikh yang lama,” kata Nur Aida.
Turut hadir tiga peguam pemerhati yang dilantik oleh ahli keluarga mangsa iaitu Luqman Hakim Azhar, Mohd. Norazihan Adnan dan Goh Chee Kian.
Keluarga Allahyarham Farah Kartini turut hadir di mahkamah semalam namun enggan ditemu bual oleh wartawan.
Pada 26 Julai lalu, Muhammad Alif, 26, didakwa atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini, 25, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di ladang kelapa sawit SKC Keledang, Mukim Hulu Bernam, antara pukul 9 pagi, 10 Julai hingga 6 petang, 15 Julai lalu.
Nur Farah Kartini, yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan meninggal dunia di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Felda Gedangsa, Hulu Selangor.
Mayatnya ditemukan kira-kira pukul 6 petang, 15 Julai lalu dipercayai dibunuh individu dikenali dan susulan itu, polis menahan anggota polis berpangkat lans koperal berusia 26 tahun. – UTUSAN