am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebuah madrasah swasta, di sini, selepas seorang guru di institusi itu didakwa mengasari beberapa pelajarnya.
Pengarahnya, Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, tindakan itu bergantung kepada hasil siasatan yang dijalankan pasukan penyiasat JHEAINS yang turun ke madrasah terbabit semalam selepas kes itu tular di media sosial.
“Pasukan penyiasat JHEAINS pergi ke premis berkenaan untuk mendapatkan laporan penuh. Selepas itu, saya akan dapatkan laporan daripada mereka dan kita akan bertindak apa yang sewajarnya,” katanya ditemui di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.
Beliau ditanya insiden sekumpulan pelajar sebuah madrasah, di sini yang didakwa dikasari seorang guru atau pengajar di institusi itu dengan menghentak kepala mereka menggunakan helmet.
Kejadian dipercayai pada akhir minggu lalu itu tular di media sosial hingga menimbulkan kemarahan dan kecaman netizen terhadap guru terbabit, sebelum dia ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Jumain berkata, madrasah yang mempunyai 90 pelajar dengan lima tenaga pengajar itu antara institusi tahfiz yang berdaftar di bawah JHEAINS.
Katanya, JHEAINS hanya menyelia institusi pendidikan agama seperti itu dan menyediakan sukatan atau silibus pengajian, manakala pengurusannya di bawah kelolaan madrasah itu sendiri.
Beliau mendedahkan, sebelum insiden itu, beberapa pelajar dari madrasah terbabit dikatakan keluar pada waktu malam dengan berjalan kaki ke sebuah kafe siber yang terletak kira-kira satu kilometer.
Disebabkan risau terhadap pelajarnya, guru terbabit katanya kemudian menyusuli mereka sebelum insiden kekasaran terhadap pelajar itu berlaku dan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum ditularkan.
“Menurut pengajar itu, dia macam risaulah, jadi dia buat ‘spot check’ dan datang mencari pelajarnya di sana. Guru ini memang lembut orangnya, tapi tak tahu macam mana dia naik angin pada ketika itu.
“Dipercayai pelajar terbabit ada masalah disiplin jugalah, namun pada saya, disiplin itu tetap disiplin, tapi tidaklah sepatutnya sampai ke peringkat itu, memukul,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sebelum ini tular satu rakaman video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki bertindak memukul beberapa remaja di sebuah premis, termasuk menggunakan topi keledar.
© New Straits Times Press (M) Bhd






