am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki yang lehernya dikelar menggunakan pisau direman dua hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi membantu siasatan berhubung insiden terbabit.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 41 tahun dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman bermula hari ini sehingga esok, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lebih lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu, pasangan terbabit tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.30 pagi sebelum dibawa masuk ke dalam mahkamah untuk prosiding reman.
Kedua-dua suspek ditahan 4 petang semalam di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi membantu polis melengkapkan siasatan.
Sementara itu, peguam suspek, Muhamad Izwan Ishak berkata, dalam prosiding itu, pegawai penyiasat memberitahu reman diperlukan untuk polis merekodkan percakapan mereka berdua.
Menurutnya, ia penting kerana terdapat maklumat daripada kanak-kanak (mangsa) yang mendakwa ada pembabitan kedua-dua suspek sekali gus memerlukan siasatan lanjut.
“Selain itu terdapat percanggahan maklumat antara kedua-dua suspek yang mana memerlukan siasatan lebih terperinci daripada pihak polis.
“Arahan tahan reman juga dibuat untuk menunggu laporan daripada Jabatan Kesihatan Masyarakat (JKM) bagi mengambil kedua-dua anak suspek untuk diletakkan bawah jagaan sementara.
“Selanjutnya adalah mengesan pembabitan suspek ataupun kewujudan unsur lain jenayah lain dalam kes ini,” katanya ketika ditemui.
Dalam kejadian 5.30 pagi Isnin lalu, mangsa berusia enam tahun ditemukan dalam keadaan parah selepas leher sebelah kanan dikelar menggunakan senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dilaporkan berkata, siasatan dijalankan sebaik pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 41 tahun pada pagi hari kejadian.
Menurutnya, wanita tersedar daripada tidur dan mendapati anak lelakinya mengalami kecederaan parah di leher dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd






