Kuantan: Jumlah kes kanser payudara menunjukkan peningkatan setiap tahun di Pahang, dengan pesakit muda direkodkan berusia 20-an, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Datuk Sabariah Saidan.
Beliau berkata, kesedaran masyarakat khususnya kaum wanita terhadap kepentingan pemeriksaan awal dan saringan berkala sangat penting untuk menyelamatkan nyawa.
“Saya menyeru kaum wanita di negeri ini untuk melakukan pemeriksaan sendiri payudara (Breast Self Examination) setiap bulan dan mendapatkan pemeriksaan klinikal di fasiliti kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2025 Peringkat Pahang di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, kaum hawa juga boleh menjalani ujian saringan mamogram yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pahang.
Mengulas mengenai program berkenaan, beliau berkata, ia antara lain bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat selain memberikan sokongan kepada pesakit kanser.
Katanya, golongan lelaki juga perlu peka terhadap penyakit itu kerana mereka tidak terkecuali daripada risiko yang sama.
Dalam pada itu, Sabariah turut menyeru keluarga, komuniti dan masyarakat memberikan dorongan moral serta mewujudkan persekitaran yang positif untuk pesakit kanser.
© New Straits Times Press (M) Bhd