City didakwa dengan 100 kes pelanggaran peraturan kewangan liga yang didakwa berlaku sejak tahun 2009.
PENGERUSI Tottenham Hotspur, Daniel Levy menyifatkan siasatan terhadap dakwaan pelanggaran kewangan oleh Manchester City telah berlarutan terlalu lama dan perlu diselesaikan segera demi kepentingan bola sepak.
Pada Februari 2023, Manchester City telah didakwa oleh Liga Perdana Inggeris (EPL) atas lebih 100 kes pelanggaran peraturan kewangan liga yang didakwa berlaku sejak tahun 2009.
Sesi pendengaran kes terhadap kelab Etihad itu yang menafikan sebarang salah laku telah dijalankan dari September hingga Disember tahun lalu. Bagaimanapun, keputusan rasmi masih belum diumumkan dan dijangka akan diketahui selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Levy enggan mengulas secara langsung mengenai kelab lain di EPL, namun menegaskan proses siasatan tersebut sudah mengambil masa terlalu lama.
“Agak tidak adil untuk saya komen mengenai kelab lain dalam liga ini. Namun, proses ini sudah berjalan terlalu lama dan demi kebaikan sukan ini, ia perlu diselesaikan segera,” katanya.
City dimiliki oleh City Football Group (CFG), yang turut memiliki beberapa kelab lain seperti Girona (La Liga), New York City FC (MLS) serta beberapa lagi kelab di seluruh dunia. Situasi pemilikan pelbagai kelab ini menimbulkan kebimbangan Levy, yang melihat ia boleh digunakan untuk memanipulasi kawalan kewangan sedia ada dalam bola sepak.
CFG pula dimiliki majoritinya oleh Abu Dhabi United Group yang diketuai oleh Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, anggota keluarga diraja Abu Dhabi dan Naib Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Mengulas mengenai penajaan berkaitan pihak-pihak tertentu, Levy menyifatkan ia antara ancaman terbesar terhadap keadilan dalam bola sepak.
“Itu salah satu aspek yang perlu dikawal. Saya tiada isu jika sesebuah kelab dimiliki oleh negara atau kerajaan, tetapi mereka berupaya menjalankan urusan sesama sendiri, dan itu memberikan kelebihan kompetitif yang tidak adil kepada kelab-kelab lain.
“Itu memang membimbangkan,” ujarnya.