Kes pekerja binaan diserang termasuk oleh kerabat diraja belum ditutup

Kes pekerja binaan diserang termasuk oleh kerabat diraja belum ditutup



am@hmetro.com.my

Kuantan: Polis Pahang mengesahkan kes seorang pekerja pembinaan yang mendakwa diserang sekumpulan lelaki termasuk seorang kerabat diraja belum ditutup.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata ketika ini pihaknya masih menunggu perkembangan lanjut selepas kertas siasatan berhubung kes itu diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya (TPR) bulan lalu.

Beliau berkata, ketika ini kertas siasatan sedang dikaji oleh pihak TPR.

“Kami sedang menunggu sebarang perkembangan atau hasil baharu,” katanya yang turut menjanjikan tiada penutupan kes atau usaha menutup isu itu.

Semalam, mangsa lelaki berusia 44 tahun mendakwa tiada tindakan diambil mengenai kesnya kerana pihak polis berdiam diri.

Lelaki itu meluahkan rasa kecewa dan mengatakan masih menunggu perkembangan mengenai kes tersebut.

Sementara itu, Yahaya berkata, mangsa sepatutnya menghubungi pegawai penyiasat yang mengendalikan kes bagi memperoleh maklumat terkini mengenai perkembangan siasatan itu.

“Dia boleh pergi ke balai polis Kuantan atau menghubungi pegawai penyiasat untuk mendapatkan kemas kini kes… jangan buat tuduhan terhadap jabatan,” katanya.

Terdahulu hari ini, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, melalui akaun media sosial menuntut keadilan bagi mangsa dan menyeru siasatan kes ini dijalankan dengan telus.

Pada 5 September, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkata tiada siapa yang berada di atas undang-undang termasuk kerabat diraja dan menggesa pihak polis menjalankan siasatan terperinci dengan segera.

Sehari selepas itu, Yahaya berjanji menjalankan siasatan secara telus terhadap dakwaan serangan itu, dengan mengatakan tiada penutupan atau kelewatan dalam siasatan polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top