Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih, Dato’ N Sivakumar menggesa kerajaan melaksanakan tindakan lebih keras dan luar biasa bagi menangani isu pemanduan mabuk yang dilihat semakin membimbangkan.
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, beliau menyatakan tragedi terbaru di Jalan Ampang yang meragut nyawa sepasang suami isteri hingga menyebabkan tiga anak menjadi yatim piatu membuktikan pendekatan sedia ada masih belum cukup berkesan.
Tragedi di Jalan Ampang bukti pendekatan sedia ada tak cukup
Ujarnya, kebimbangan mengenai peningkatan kes pemandu mabuk telah lama disuarakan, namun kejadian sama terus berulang tanpa penyelesaian tuntas.
“Berapa banyak lagi nyawa rakyat perlu melayang sebelum tindakan lebih tegas dilaksanakan? Isu ini sudah terlalu lama diperkatakan tetapi apa yang berlaku hari ini menunjukkan masih ramai tidak takut kepada undang-undang.
“Setiap kali tragedi berlaku, masyarakat marah untuk beberapa hari, kemudian semuanya kembali senyap sehingga ada lagi mangsa baharu.
”Kerajaan tidak boleh terus mengambil pendekatan bermusim dalam isu melibatkan nyawa rakyat,” katanya.

Perlu diklarifikasikan sebagai jenayah berat
Sivakumar menegaskan pemanduan di bawah pengaruh alkohol perlu diklasifikasikan sebagai jenayah berat kerana melibatkan kecuaian melampau yang boleh meragut nyawa pengguna jalan raya lain.
Beliau turut mencadangkan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori, pembatalan lesen dalam tempoh panjang serta larangan seumur hidup bagi pesalah berulang.

Selain itu, beliau menyarankan pelaksanaan sekatan jalan raya secara lebih agresif dan konsisten terutama pada waktu berisiko tinggi seperti lewat malam, hujung minggu dan musim perayaan.
“Operasi tidak boleh hanya dibuat secara bermusim atau ketika ada kemalangan besar sahaja. Penguatkuasaan mesti konsisten setiap minggu supaya masyarakat benar-benar takut untuk memandu selepas mengambil alkohol,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan penggunaan teknologi seperti kamera pintar dan sistem pengesanan automatik bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti pemandu berbahaya dengan lebih pantas.
“Pendidikan mengenai bahaya pemanduan mabuk tidak boleh dilakukan secara sambilan. Ia perlu dijadikan agenda nasional kerana setiap tahun kita kehilangan nyawa akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu,” katanya.
Sivakumar juga mahu proses perundangan dipercepatkan supaya keluarga mangsa tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan keadilan.






