SHAH ALAM – Seorang bekas guru sekolah kebangsaan di Selayang diarah membayar ganti rugi berjumlah RM90,000 kepada seorang bekas murid atas dakwaan memukul menggunakan penyapu sehingga berdarah dan menerima lima jatihan di kepala.
Perintah itu dikeluarkan Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Hazizah Kassim terhadap defendan pertama selepas membenarkan rayuan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Selayang, Nor Rajiah Mat Zin yang dibuat pada 20 Mac lalu.
“Mahkamah memutuskan defendan satu bertanggungjawab untuk membayar kepada plaintif sebagai berikut. Pertama ganti rugi am sebanyak RM15,000, kedua ganti rugi teladan RM70,000 dan kos RM5,000.
“Mahkamah dengan ini mengetepikan keputusan yang telah dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen Selayang pada 20 Mac 2024,” katanya ketika membaca kan keputusan rayuan terhadap saman tersebut di sini hari ini.
Bagaimanapun Hazizah menolak rayuan keputusan saman dikemukakan pelajar yang kini berusia 13 tahun itu terhadap guru besar dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dan ketiga.
“Mahkamah memutuskan defendan dua dan tiga tidak bertanggungan alih terhadap perbuatan defendan satu,” katanya.
Terdahulu, semasa Hazizah meneliti hujahan dan keterangan, mahkamah mendapati pegawai penyiasat menjadikan saksi pembelaan kedua hanya berasaskan kepada keterangan ‘dengar cakap’.
“Tiada nas undang-undang yang menyokong dapatan tersebut.
“Dapatan tersebut bagi hemat mahkamah ini adalah suatu kekhilafan yang nyata dan membolehkan mahkamah ini untuk campur tangan.
“Pada hemat saya, tugas seorang pegawai penyiasat yang menyiasat insiden yang diadukan sekiranya diputuskan sebagai keterangan dengar cakap.
“Ia akan membawa kepada satu kesimpulan iaitu keseluruhan eko sistem dalam konteks siasatan polis akan menjadi tidak kredibel,” katanya.
Selain itu, Hazizah juga mempersoalkan kewajaran defendan mengemukakan rekod disiplin bekas murid terbabit yang berusia lapan tahun sebagai satu alasan untuk menjustifikasikan perbuatan dengan bekas guru terbabit.
“Adakah murid lapan lapan tahun lebih wajar direkodkan perbuatannya yang dikatakan kesalahan disiplin. Kes ini bukan melibatkan pertikaian antara orang dewasa dengan orang dewasa.
“Ini adalah kes antara seorang kanak-kanak dengan seorang dewasa yang merupakan seorang guru.
“Pada hemat mahkamah ini, rekod disiplin tersebut tidak relevan untuk menunjukkan tingkah laku murid berusia lapan tahun ketika kejadian,” katanya.
Prosiding itu dihadiri bapa pelajar tersebut, Mohd Amirul Azdi Md Yusuf, 41, peguam Azmer Md Saad dan Nur Zalikah Noor Kashfi yang mewakili plantif dan peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim dan Mohd Zali Shaari mewakili guru berkenaan.
Turut hadir Peguam Kanan Persekutuan, Nur Aifaa Che Abdullah bertindak sebagai bagi pihak guru besar dan kerajaan.
Dalam saman difailkan pada 17 Oktober 2022, plaintif ketika itu berumur lapan tahun mendakwa semasa sesi pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu pada 3 petang, 18 Oktober 2019, dia dan seorang lagi murid nampak guru berkenaan sedang mengejar seorang lagi rakan sekelasnya sambil memegang sebatang penyapu.
Plaintif mendakwa semasa dia dalam perjalanan kembali ke tempat duduk, guru berkenaan secara tiba-tiba memukul kepalanya menggunakan penyapu itu dan dia mengalami kecederaan serta pendarahan yang banyak.
Hasil pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan di Gombak mendapati dia mengalami kecederaan di bahagian atas kepala dan menerima lima jahitan serta kepalanya terpaksa dibalut bagi menutup luka.
Susulan itu, bapa plaintif membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan pukul 6.45 petang, hari yang sama dan meminta guru itu memberi penjelasan dan guru berkenaan menyatakan bahawa mangsa dipukul kerana tidak berada di tempat duduk ketika sesi pembelajaran dalam kelas.
Dakwa plaintif, kegagalan kesemua defendan untuk memastikan plaintif dibimbing dengan baik sepanjang berada di sekolah dan berada di dalam keadaan selamat sepanjang masa sesi persekolahan berlangsung menyebabkan guru berkenaan mendatangkan kecederaan yang dialami plaintif.
Berdasarkan pernyataan pembelaan difailkan defendan pertama, pada 20 Disember 2022, wanita itu mendakwa tidak pernah memukul kepala plaintif atau murid-murid lain menggunakan penyapu atau mana- mana bahagian penyapu.
Guru berkenaan berkata kecederaan dialami plaintif itu akibat kenakalannya sendiri yang mana plaintif terhantuk dan terkena bucu kayu (tempat letak kapur) papan hitam lama yang diletakkan papan putih di atasnya ketika plaintif cuba meloloskan diri dari tempatnya tersekat di antara meja guru dan papan putih. – MalaysiaGazette