Kes simbah air panas: Isteri Thai tuntut ganti rugi

Kes simbah air panas: Isteri Thai tuntut ganti rugi


Seoul: Seorang wanita warga Thailand yang mendakwa mukanya disimbah air panas oleh suami warga Korea Selatan ketika tidur kini bersedia memfailkan saman sivil bagi menuntut ganti rugi, lapor The Korea Herald.

Kedutaan Thailand di Korea Selatan memaklumkan bahawa pihaknya membantu mangsa melantik penasihat undang-undang bagi tujuan memulakan kes berkenaan.

Mangsa kini dalam proses berunding dengan peguam bagi memastikan tuntutan ganti rugi terhadap suaminya dapat dijalankan secara profesional.

Keadaan wanita itu dilaporkan semakin pulih selepas serangan pada 3 Disember lalu yang menyebabkannya mengalami kecederaan lecur parah sebanyak 40 peratus pada bahagian badan.

Suspek kini berhadapan pertuduhan jenayah atas insiden itu yang dianggap oleh pihak polis sebagai serangan yang dilakukan dengan sengaja.

Mahkamah Daerah Uijeongbu pada 16 Disember sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap suami mangsa berikutan kebimbangan lelaki terbabit kemungkinan melarikan diri.

Suspek hadir ke mahkamah kira-kira 10.30 pagi untuk pendengaran semakan waran, memakai kot hitam dan pelitup muka bagi melindungi identitinya.

Menurut polis, lelaki itu didakwa menyimbah air panas dari cerek ke muka isterinya semasa wanita terbabit tidur di kediaman mereka.

Mangsa yang mengalami kecederaan lecur parah di muka segera dikejarkan ke sebuah hospital di Seongdong-gu, timur Seoul untuk rawatan kecemasan.

Kakitangan perubatan kemudian menghubungi pihak polis pada 9 malam selepas mengesyaki berlakunya kes penderaan domestik terhadap wanita berkenaan.

Polis segera mengeluarkan langkah perlindungan kecemasan termasuk perintah sekatan dan arahan menghalang suspek daripada menghubungi mangsa secara terus.

Laporan awal memetik suspek mendakwa dia menyerang isterinya bagi “mencacatkan wajahnya” supaya wanita itu tidak lagi berjumpa atau melihat lelaki lain.

Duta Thailand ke Korea Selatan, Tanee Sangrat sudah melawat mangsa bagi memastikan kedutaan menyediakan khidmat guaman serta penterjemahan bagi membantu proses keadilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top