mhafis@mediaprima.com.my
Subang Jaya: Polis menahan tiga lelaki termasuk bekas suami seorang wanita, susulan kejadian seorang lelaki parah ditetak akibat cemburu di sebuah pangsapuri di Taman Puchong Intan, Puchong, di sini, pada awal pagi Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, suspek ditahan 3 petang tadi oleh sepasukan polis di Jalan USJ 9.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan mengaku terbabit dengan kes ini.
“Kesemua suspek ditahan dan permohonan reman akan dipohon di Mahkamah Shah Alam esok bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada wanita tempatan memaklumkan teman lelakinya dipukul dan ditetak.
Mangsa berusia 47 tahun itu dipukul serta ditetak di kepala dan badan oleh bekas suami wanita terbabit bersama dua lelaki tempatan lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd