hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Bangi: “Sampai bila kami mahu bertahan berdepan dengan masalah gangguan anjing liar dan terbaru masalah itu membawa kepada pergaduhan dengan jiran,” kata Rohaidatul Asma Jusoh.
Rohaidatul Asma, 40-an, adalah penduduk Taman Awani Bangi, di sini, yang kesal masalah gangguan anjing liar di perumahan itu terus berlarutan hingga menyebabkan pergaduhan.
Kejadian didakwa berlaku selepas beberapa kanak-kanak dikejar tujuh hingga lapan anjing liar ketika sedang bermain di kawasan hadapan rumah, jam 5.50 petang kelmarin.
Seorang lelaki yang melihat kejadian segera menghalau anjing berkenaan namun ada pihak mendakwa tindakan itu menakutkan haiwan terbabit dan berlaku perselisihan faham hingga membawa kepada pergaduhan mulut antara dua pihak.
Pergaduhan itu membabitkan dua pihak iaitu penduduk kampung berhampiran yang tidak bersetuju dengan tindakan lelaki terbabit dan penduduk taman yang sudah tidak tahan sering diganggu anjing liar sejak sekian lama.
Kejadian itu kemudian dileraikan polis dan kedua-dua pihak turut membuat laporan termasuk masalah gangguan anjing liar yang sehingga kini didakwa masih belum diambil tindakan penyelesaian secara menyeluruh.
Difahamkan, seorang lelaki juga ditahan susulan kejadian itu namun sudah dibebaskan.
Rohaidatul Asma berkata, dia kesal masalah itu terus berlarutan tanpa tindakan progresif daripada pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sehingga menyebabkan pergaduhan antara kejiranan.
Dia mendakwa, ada jiran dan pihak luar selalu memberi makan kepada anjing liar menjadikan haiwan itu banyak di kawasan mereka dan memberi ancaman kepada penduduk termasuk mengejar mereka.
“Anak saya dan anak jiran sedang bermain di hadapan rumah dikejar sekumpulan anjing liar. Mereka berlari ketakutan masuk ke dalam rumah. Ada seorang bapa cuba menghalau namun tindakannya itu dikatakan keterlaluan,” katanya.
Katanya, kejadian itu menyebabkan beberapa individu yang sedang duduk di taman tidak berpuas hati dan memanggil rakan lain daripada kawasan berhampiran hingga berlaku pergaduhan mulut antara mereka sehingga terpaksa mendapatkan bantuan pihak polis.
“Pihak berkenaan kata anjing juga perlu dilayan baik dan kami faham tetapi kalau haiwan itu sudah kejar anak dan bahayakan keselamatan perlu ke kami berdiam diri? Kadang-kadang pernah ada 15 anjing berada di hadapan rumah dan kami takut mahu keluar,” katanya.
Katanya, susulan itu mereka sepakat membuat laporan polis termasuk tiada tindakan menyeluruh diambil pihak MPKj terhadap isu itu sehingga ia terus berlarutan hingga menjadi pergaduhan.
“Jika perkara ini terus berlarutan, tidak mustahil akan berlaku pergaduhan lagi dan kami risau jika ia boleh membawa pergaduhan yang lebih serius,” katanya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang semalam.
Sementara itu, Pengarah Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman ketika dihubungi berkata, pihaknya akan memberi maklum balas berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, Harian Metro masih menunggu maklum balas daripada Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berhubung kejadian itu.
Pada Jun tahun lalu, Harian Metro melaporkan kebimbangan penduduk Taman Awani Bangi, di sini, dengan ancaman puluhan anjing liar di perumahan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd