kartika@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pembatalan pembelian minyak sawit mentah dari Malaysia oleh syarikat di India berikutan kenaikan cukai import secara drastik ke atas minyak sawit dan minyak boleh dimakan lain sebanyak 20 peratus dilihat hanya bersifat sementara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebarang pembatalan inventori akibat kenaikan cukai itu tidak memberi kesan yang besar.
Katanya, ini kerana India mempunyai populasi penduduk yang juga pengguna minyak terbesar di dunia.
“Justeru, apa-apa pembatalan terbabit, bagi saya hanya bersifat sementara kerana mereka masih menjadi pasaran penting untuk minyak sawit negara.
“Malaysia akan terus menjadi rakan kongsi utama India dan kita akan terus menjual produk minyak sawit yang berkualiti tinggi.
“Malah, ketika pertemuan dengan rakan sejawat di India beberapa bulan lalu, saya menyatakan komitmen Malaysia untuk menyokong industri minyak sawit di sana termasuk mengenai teknologi dan pelbagai perkara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Minyak Sawit Malaysia Kuala Lumpur, hari ini.
Ketika ditanya adakah Malaysia akan memohon kepada kerajaan India untuk mengurangkan cukai import itu, Johari berkata, Malaysia menghormati keputusan setiap negara pengguna.
“Biasanya, kita tidak boleh melakukannya, kerana itu adalah hak setiap negara untuk memutuskan kenaikan cukai mereka.
“Setiap isu cukai saya percaya ia berkait dengan isu negara itu sendiri dan kita tidak boleh mengganggu keputusan setiap negara,” katanya.
Mengenai perkembangan lain, beliau berkata Malaysia juga terbuka untuk menjalin perdagangan minyak sawit dengan pelbagai negara lain seperti Rusia, Timur Tengah dan Afrika.
Katanya, ini kerana masih banyak ruang dan potensi untuk Malaysia meneroka serta mengembangkan industri minyak sawit sekaligus mempromosikan kelestariannya.
“Lebih banyak penggunaan minyak sawit akan memberi impak positif kepada negara pengeluar terutamanya Malaysia,” katanya.
Sementara itu, mengenai penangguhan Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) sehingga akhir 2025 oleh Kesatuan Eropah, Johari berkata ia akan memberi masa kepada negara pengeluar minyak sawit untuk mengambil langkah bagi mematuhi dan menambahbaik dasar kemampanan.
Menurutnya, pada masa sama isu kritikal seperti mewujudkan kriteria penanda aras yang telus perlu dilihat dengan teliti.
“Malaysia berharap Parlimen EU akan memainkan peranan lebih akomodatif untuk menangani isu itu demi kebaikan dunia.
“Malah, bagi Malaysia, trend global ke arah memacu agenda kemampanan menyediakan peluang besar untuk menunjukkan komitmen negara terhadap kelestarian dan mengukuhkan peranan sebagai pengeluar yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, negara sudah lama mengamalkan amalan yang lestari dan oleh itu EUDR menyediakan platform tambahan untuk menunjukkan bahawa industri sawit bukan sahaja bersedia untuk memenuhi permintaan ini tetapi juga berada dalam posisi yang baik untuk berkembang maju.
© New Straits Times Press (M) Bhd