zhahirah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kecerdasan Buatan (AI) kini menjadi sebahagian penting dalam landskap pendidikan, namun penggunaannya yang meluas menimbulkan persoalan mengenai impaknya terhadap daya pemikiran kritis penuntut.
Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, AI telah terintegrasi dalam ekosistem pendidikan sebagai evolusi teknologi ketamadunan yang tidak dapat dielakkan.
Walaupun menawarkan kemudahan, beliau mengingatkan bahawa kebergantungan berlebihan terhadap AI boleh menjejaskan pembangunan kemahiran berfikir analitikal.
“Saya tidak menggalakkan pelajar menggunakan AI sebagai landasan utama pembentukan kerangka pemikiran awal kerana penguasaan kemahiran asas lebih utama,” katanya ketika mengupas isu ini secara mendalam dalam program podcast Apa-apa Sahaja Harian Metro, baru-baru ini.
Beliau menyuarakan kebimbangan mengenai potensi pembentukan “masyarakat jalan pintas” yang mengabaikan analisis mendalam demi hasil segera.
“Sekiranya kita hanya bergantung kepada AI untuk rumusan mudah, kita berisiko kehilangan kedalaman pemikiran, sedangkan falsafah ilmu dan keupayaan menterjemah pemikiran secara kritis amat penting,” katanya.
Dalam aspek kreativiti, Dr. Nirwandy berpandangan AI berpotensi mencetuskan bentuk kreativiti baharu, namun elemen kemanusiaan, nilai, dan etika tetap tidak boleh digantikan mesin.
“AI mungkin menghasilkan karya, tetapi ‘rasa’ dan pemahaman kontekstual lahir daripada insan, justeru keseimbangan dengan nilai kemanusiaan perlu dipelihara,” katanya.
Nirwandy turut menekankan pentingnya garis panduan dan dasar etika di peringkat institusi dan nasional untuk mengawal selia penggunaan AI secara bertanggungjawab.
“Regulasi komprehensif perlu bagi mewujudkan mekanisme pencegahan dan keseimbangan, memastikan AI dimanfaatkan tanpa menjejaskan integriti akademik,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa AI membawa ideologi tertentu, justeru pemikiran kritis penting agar pengguna tidak terpengaruh secara tidak sedar.
Mengenai potensi AI menggantikan pensyarah, Nirwandy percaya peranan pensyarah dalam membentuk pemikiran dan membimbing secara holistik tetap tidak ternilai.
“Pengalaman dan keupayaan interaksi seorang pensyarah adalah sesuatu yang AI belum tentu dapat gantikan sepenuhnya, menjadikan keseimbangan antara teknologi dan sentuhan insan mustahak,” katanya.
AI dapat dilihat sebagai alat berpotensi besar untuk evolusi pendidikan jika digunakan dengan bijaksana, beretika, dan berpada-pada, tanpa mengorbankan kemahiran insaniah dan pemikiran kritis.
© New Straits Times Press (M) Bhd