PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa kesemua sembilan warganegara Malaysia, yang telah mengambil bahagian dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG), telah dibebaskan hari ini.
Menurut Wisma Putra, mereka telah dibawa keluar dari Israel melalui Penerbangan Turkish Airlines TK6921, dan telah selamat tiba di Istanbul, Türkiye, pada pukul 2.30 petang waktu tempatan atau 7.30 malam (waktu Malaysia).
“Mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan perubatan di Istanbul sebelum kembali ke Malaysia dalam masa beberapa hari akan datang.
“Kementerian ini merakamkan penghargaan Malaysia yang mendalam kepada Kerajaan Türkiye dan rakan-rakan kerjasama kita yang lain.
“Ia atas fasilitasi dan sokongan penting mereka yang telah membawa kepada pembebasan dan penghantaran pulang warganegara Malaysia ini dengan pantas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wisma Putra berkata, keselamatan dan kebajikan semua warganegara Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi Kerajaan Malaysia.
Semalam, sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan FFC-TMTG disahkan telah ditunda manakala kesemua aktivis di atas kapal berkenaan, termasuk sembilan rakyat Malaysia, dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel.
Delegasi Malaysia yang terlibat ialah Profesor Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr. Fauziah Mohd Hassan, Dr. Maziah Muhammad, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi, Dr. Mohd Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Kesemua mereka antara 145 aktivis antarabangsa yang ditahan tentera Israel selepas kapal konvoi kemanusiaan yang disertai mereka ditunda ke Pelabuhan Ashdod. – UTUSAN