O’Riley menjelmakan tiga mata buat Brighton ketika menjinakkan Manchester City di Amex. Foto: Agensi
KESENGSARAAN penyandang juara Manchester City berterusan apabila mencatat kekalahan keempat berturut-turut dalam semua kejuaraan selepas tewas 1-2 kepada Brighton & Hove Albion dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Komuniti Amex.
Dua jaringan lewat yang dihasilkan pemain gantian Joao Pedro (m-78) dan Matt O’Riley (m-83) berjaya memadamkan gol awal Erling Haaland pada minit ke-23 separuh masa pertama.
Kekalahan itu juga menandakan kali pertama pengendali Manchester City, Pep Guardiola tewas empat kali berturut-turut dalam karier pengurusannya dan mengekalkan The Citizens di tempat kedua dalam kedudukan liga dengan 23 mata daripada 11 perlawanan.
Tiga mata diraih Brighton kendalian pengendali kelahiran Jerman, Fabian Hurzeler membolehkan The Seagulls naik ke tangga keempat liga dengan 19 mata.
Pada awal perlawanan, City seakan bersedia untuk menamatkan prestasi buruk selepas Haaland menjaringkan gol selepas penyerang kelahiran Norway itu menyudahkan sentuhan Mateo Kovacic untuk jaringan ke-12 musim ini.
Bagaimanapun Brighton tampil bertambah baik pada separuh masa kedua bermula dengan sentuhan Pedro yang menyamakan kedudukan tuan rumah apabila City tidak dapat mengeluarkan bola yang dimanfaatkan sepenuhnya pemain asal Brazil itu untuk menewaskan Ederson.
O’Riley membuat penampilan pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris, kemudian mencipta sebagai satu kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila dia meledak gol kemenangan Seagulls lima minit kemudian apabila menterjemahkan sentuhan Pedro bagi menewaskan Ederson buat kali kedua.
“Musim lalu kami kehilangan terlalu banyak mata dan pengendali memberitahu kami untuk percaya pada diri sendiri musim ini.
“Musim ini, dan hari ini kami bermain dengan baik menentang pasukan besar,” kata Pedro.
City sebelum itu dilanda kecederaan dengan Nathan Ake, John Stones, Jack Grealish dan Ruben Dias hilang dari kesebelasan pasukan, bersama Rodri dan Oscar Bobb yang lebih awal direhatkan.
Tiga kekalahan City sebelum ini ialah tunduk 1-2 kepada Tottenham Hotspur dalam saingan Piala Liga, kekalahan liga mengejut 1-2 di Bournemouth, dan kekalahan Liga Juara-Juara 1-4 kepada kelab Portugal, Sporting Lisbon.