Keadaan kesihatan pelakon Norish Karman dilaporkan semakin merosot dan kini berada dalam situasi berisiko tinggi.
Perkara itu dikongsikan oleh anak perempuannya, Manda menerusi satu hantaran di Threads berharap orang ramai menitipkan doa buat ibunya.

“Bunda yang kami kasihi kini berada dalam keadaan kesihatan yang semakin merosot. Beliau berada dalam situasi berisiko tinggi.
“Apatah daya kami sebagai anak-anak yang masih jauh perjalanan hidup dan belum mampu memberikan yang terbaik.
“Saya sangat berharap kepada sesiapa yang membaca ini, mohon titipkan doa. Bagi kami, itulah harapan yang masih ada,” tulisnya.

Menurut Manda lagi, ibunya kini memerlukan penjagaan rapi dan bergantung sepenuhnya kepada penggunaan kerusi roda.
“Doakan agar Allah SWT memberikan Bunda kami peluang untuk mendapatkan rawatan, mengurniakan kesembuhan, dan mengangkat segala kesakitan yang ditanggung oleh NK.
“Kami tidak sanggup lagi melihat keperitan yang dilaluinya. Ketika ini, NK menggunakan kerusi roda agar tidak perlu memberi tekanan berlebihan kepada jantungnya,” tulisnya.
Dalam pada itu, selain memohon sokongan moral, Manda turut membuka pintu buat pihak berhati mulia untuk menghulurkan bantuan bagi menampung kos perubatan dan kelangsungan hidup keluarga mereka.
“Sekiranya ada di luar sana yang berhati mulia dan sudi menghulurkan bantuan dalam apa-apa jua bentuk, setiap sokongan tidak kira doa, tenaga, terutamanya bantuan kewangan amat besar maknanya buat saya dan adik-adik saya,” tulisnya.






