Kesilapan besar Slot undang kritikan

Kesilapan besar Slot undang kritikan


BEKAS pemain tengah Liverpool, Jamie Redknapp mengkritik pengendali pasukan, Arne Slot selepas pasukan itu tewas 0-3 kepada Crystal Palace dalam saingan Piala Liga sekali gus mencatat enam kekalahan daripada tujuh perlawanan terakhir.

Dalam aksi di Anfield itu, dua jaringan daripada Ismaila Sarr serta satu daripada Yeremy Pino memastikan skuad bimbingan Oliver Glasner menewaskan Liverpool buat kali ketiga musim ini selepas kejayaan dalam Perisai Komuniti dan Liga Perdana Inggeris.

Slot membuat 10 pertukaran dalam kesebelasan utamanya, termasuk menurunkan dua pemain debut dan tiga remaja, manakala sebahagian besar tonggak utama tidak tersenarai langsung di bangku simpanan.

Keputusan itu nyata tidak disenangi Redknapp yang menyifatkannya sebagai satu kesilapan besar oleh Slot.

“Anda tidak memudahkan situasi untuk para pemain muda disebabkan oleh pasukan dan pemain yang berada di sekeliling mereka.

“Jangan beritahu saya bahawa dia memilih pasukan dan pemain gantian seperti itu dengan keyakinan bahawa ‘inilah kombinasi yang boleh memberikan keputusan baik menentang pasukan Crystal Palace yang kuat’. Mungkin dia berharap begitu, tetapi saya langsung tidak percaya mereka mampu menewaskan Palace.

“Dia telah melakukan kesilapan hari ini, tetapi sejak menyertai kelab, prestasinya memang luar biasa. Ini adalah tekanan sebenar buat semua pihak yang terlibat, namun begitulah dunia bola sepak,” katanya dalam ulasan pasca perlawanan di Sky Sports.

Bagaimanapun, Slot mempertahankan keputusannya dengan alasan beban perlawanan yang tinggi ke atas pemain utama dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

“Jika saya lihat kepada persembahan kami menentang Brentford dua hari selepas beraksi menentang Frankfurt di tempat lawan, saya dapat lihat sebuah pasukan bergelut untuk bermain tiga perlawanan dalam seminggu.

“Sekali lagi, itu bukan alasan. Namun dalam dua hari lagi kami akan menentang Aston Villa. Kali terakhir saya menurunkan pemain yang kami fikir sudah bersedia untuk jadual padat tetapi sebenarnya tidak ialah Alexander Isak dan dia cedera. Dalam pusingan terakhir, Giovanni Leoni turut mengalami kecederaan manakala Hugo Ekitike pula dilayangkan kad merah.

“Kami hanya mempunyai sekitar 16 hingga 17 pemain yang boleh diturunkan. Selain itu, kelab ini sejak dahulu lagi menggunakan kejohanan ini sebagai peluang untuk pemain akademi. Saya merasakan ia keputusan yang betul, dan pandangan itu tidak berubah walaupun selepas keputusan perlawanan ini,” katanya.

Ringkasan AI

  • Jamie Redknapp mengkritik Arne Slot setelah Liverpool tewas 0-3 kepada Crystal Palace
  • Crystal Palace menang dengan dua gol dari Ismaila Sarr dan satu dari Yeremy Pino
  • Slot membuat 10 pertukaran dalam kesebelasan dengan menurunkan dua pemain debut dan tiga remaja
  • Redknapp menyifatkan keputusan Slot sebagai kesilapan besar
  • Slot mempertahankan keputusannya dengan alasan beban perlawanan yang tinggi serta menggunakan kejohanan ini sebagai peluang untuk pemain akademi



Source link

OR

Scroll to Top