Itali dihukum Jerman dengan jaringan pantas melalui sepakan sudut.
PENYERANG Itali, Moise Kean mengakui pasukannya hilang fokus ketika Jamal Musiala menjaringkan gol mudah ke gawang kosong dalam aksi suku akhir Liga Negara-Negara menentang Jerman pada Isnin.
Dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan agregat 5-4 memihak kepada Jerman, detik yang paling mencuri tumpuan berlaku apabila penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma meninggalkan gawangnya untuk mempertikaikan keputusan pengadil, sekali gus memberi ruang kepada lawan untuk menghukum pasukan Azzurri.
Jerman yang mencatat keputusan seri 3-3 dalam aksi timbal balik kedua itu berjaya memanfaatkan situasi tidak dijangka itu menerusi kepantasan Joshua Kimmich.
Pemain tengah Bayern Munich itu mengambil sepakan sudut dengan pantas selepas melihat Donnarumma berada di luar posisinya. Hantaran itu kemudian disambar oleh Musiala yang mudah menolak bola ke gawang yang tidak dikawal.
“Kami hilang fokus. Perkara seperti ini boleh berlaku. Kami akan berusaha untuk memperbaiki kelemahan ini pada masa akan datang,” kata Kean yang menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua ketika Itali bangkit daripada ketinggalan 3-0.
Sementara itu, pengendali Jerman, Julian Nagelsmann memuji kecerdikan pemainnya yang berjaya memanfaatkan kelekaan lawan.
“Ia satu tindakan yang bijak dan sangat luar biasa. Saya sendiri tidak sempat melihatnya,” kata Nagelsmann.
Jurulatih Itali, Luciano Spalletti pula berang dengan kesilapan anak buahnya yang disifatkan sebagai kurang matang.
“Kami sudah tahu mereka gemar mengambil sepakan sudut dengan pantas. Kami tidak sepatutnya berpaling dan membiarkan perkara seperti ini berlaku,” tegas Spalletti.
Dengan kemenangan ini, Jerman mara ke separuh akhir, manakala Itali terpaksa akur dengan kegagalan mereka untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan kali ini.