Rotterdam: Feyenoord meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas AC Milan dalam aksi pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi tadi, hasil kesilapan penjaga gol yang memberi tuan rumah kelebihan awal.
Igor Paixao muncul wira apabila rembatan dari sebelah kiri pada minit ketiga terbias pada permukaan padang basah sebelum terlepas dari genggaman penjaga gol Milan, Mike Maignan, sekali gus menghadiahkan Feyenoord jaringan kemenangan.
Kesilapan itu sukar diterima Maignan yang sepatutnya mampu menangkap bola dengan mudah, namun ia menjadi detik permulaan buat Feyenoord yang tampil penuh bertenaga meskipun baru sahaja memecat jurulatih Brian Priske dua hari lalu.
Di bawah kendalian jurulatih sementara Pascal Bosschaart, yang dinaikkan pangkat daripada skuad Bawah 21 Feyenoord pada hari sama pemecatan Priske, kelab Belanda itu mempamerkan aksi menyerang dengan Paixao menjadi tonggak utama di bahagian sayap.
Pemain Brazil itu berulang kali menguji pertahanan Milan, terutama Kyle Walker yang bergelut mengekangnya.
Malah, Feyenoord hampir menambah jaringan menerusi rembatan lencong Paixao pada minit ke-37 yang hanya sipi melepasi palang gol.
Selepas rehat, Paixao terus menjadi ancaman apabila gerakannya membuka peluang buat pemain gantian, Julian Carranza, namun percubaannya tersasar dari jarak dekat.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari peluang dalam suasana hujan lebat di De Kuip yang sedikit menjejaskan pergerakan bola.
“Kami bermain untuk malam seperti ini. Kami sudah menunjukkan keyakinan ini sebelum ini,” kata kapten Feyenoord, Quinten Timber.
“Ada sebab kenapa kami berada di sini sekarang. Kami telah mempamerkan beberapa aksi cemerlang dalam Liga Juara-Juara.”
Feyenoord kini memiliki kelebihan tipis menjelang aksi timbal balik di San Siro, di mana Milan pastinya akan tampil dengan misi membalas dendam.
© New Straits Times Press (M) Bhd