June 24, 2024

Kesilapan mudah rugikan pasukan- Sarjit



sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beberapa kesilapan mudah yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pemain menyebabkan mereka dihukum oleh pasukan Pakistan dalam perlawanan pembukaan kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2023/24 berlangsung di Gniezno, Poland, semalam.

Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh berkata, mereka bermain baik untuk separuh masa pertama namun separuh masa kedua, kesilapan yang dilakukan oleh pemain di kawasan sendiri membolehkan Pakistan berjaya mencipta peluang untuk bangkit dengan tiga jaringan sekaligus mengikat pasukan negara 4-4.

Meskipun anak buahnya memberikan aksi cukup baik di dalam padang namun peluang yang dicipta itu gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan sehinga menghalang pasukan negara untuk mendapatkan tiga mata penuh.

“Kami bermain cukup baik untuk memenangi perlawanan tetapi ia berakhir dengan keputusan seri. Dua suku pertama sangat baik tetapi dalam suku ketiga dan keempat, kami berada di bawah tekanan. Kami mula membuat kesilapan dan membenarkan Pakistan untuk bangkit dan mendapatkan jaringan untuk mengikat perlawanan dengan keputusan seri.

“Bagi saya, komitmen pemain di dalam padang adalah cemerlang cuma pemain kekurangan pengalaman. Kami mencipta cukup peluang untuk memenangi perlawanan tetapi penyudahnya kurang baik,”katanya.

Biarpun gagal mendapatkan kemenangan pertama, Sarjit tetap berpuas hati dengan persembahan pemain dan mereka perlu melupakan perkara itu dan kembali fokus untuk perlawanan kedua menentang Perancis esok.

Malah, beliau juga berharap pemain dapat mengurangkan kesilapan bagi mengelak dihukum sekali lagi sambil bahagian serangan perlu lebih tajam untuk memanfaatkan setiap peluang yang datang.

“Saya gembira dengan prestasi pemain. Kami perlu kurangkan kesilapan dalam kawasan D dan mengambil peluang untuk menjaringkan gol. Kami perlu pulih dengan baik dan fokus pada perlawanan menentang Perancis,”kata Sarjit.

Malaysia diletakkan di dalam Kumpulan B bersama Perancis, Pakistan dan Kanada. Untuk makluman, ketika edisi pertama pada 2022, Malaysia menamatkan kejohanan di kedudukan keempat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top