September 8, 2024

Kesilapan sukar dilupakan, video singgung perasaan orang Melayu

Kesilapan sukar dilupakan, video singgung perasaan orang Melayu


KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meluahkan rasa tidak berpuas hati walaupun penganjur Festival George Town 2024 telah menurunkan video promosi mereka dan memohon maaf.

Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam itu, video pendek itu seolah-olah mahu menafikan sumbangan orang-orang Melayu kepada warisan dan sejarah Pulau Pinang

“Video itu telah menyinggung perasaan dan membangkitkan rasa tidak senang orang-orang Melayu, kaum terawal yang mendiami Pulau Pinang.

“Adalah tidak wajar pihak-pihak yang terlibat langsung dengan penganjuran GTF 2024, iaitu Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang terlepas pandang perkara sedemikian.

“Sebagai orang yang pernah berada dalam barisan anggota pentadbiran di peringkat Kerajaan Persekutuan, suka saya mengingatkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sebagai penjaga (custodian) seni dan budaya semua kaum di negara ini, supaya berperanan lebih proaktif dalam memberikan input dan panduan kepada penganjur GTF2024,” kata bekas menteri Kabinet itu di media sosial.

Reezal juga menggesa Kerajaan Pulau Pinang dan penganjur George Town Festival 2024 yang dilantik supaya lebih peka dan sensitif dengan kepelbagaian seni dan budaya kaum-kaum yang ada di Pulau Pinang.

“Khilaf sudah berlaku dan sukar dilupakan walaupun video sudah diturunkan. Harap tidak berlaku lagi di masa depan,” katanya.

Semalam, Pas Pulau Pinang menyatakan kekesalan yang teramat sangat atas pengeluaran video promosi Festival George Town 2024 selama 10 hari yang akan bermula Jumaat ini.

Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan turut mencadangkan nama George Town ditukar kepada nama asalnya  bagi mencerminkan ‘identiti’ kebangsaan’. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top