London: Ketua pengadil, Howard Webb mengakui video bantuan pengadil (VAR) sepatutnya tidak meminta David Coote ke monitor di tepi padang untuk membuat keputusan mengenai pemberian sepakan penalti kepada West Ham dalam perlawanan menentang Manchester United.
Insiden itu menyaksikan pertahanan Red Devils, Matthijs de Ligt dan penyerang Hammers, Danny Ings bersaing untuk mendapatkan bola di dalam kotak penalti, dengan Ings menerima hukuman.
Coote, yang digantung sementara Isnin lalu susulan pendedahan video dirinya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, pada asalnya tidak memberikan sepakan penalti tetapi diminta oleh VAR untuk melihat semula situasi berkenaan.
Pengadil itu diyakinkan oleh pegawai VAR di Stockley Park bahawa sepakan penalti perlu diberikan.
Jarrod Bowen akhirnya menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan 2-1 dan menyebabkan Erik ten Hag dipecat daripada jawatannya sebagai pengurus United.
Kini, Webb mengakui bahawa VAR ‘tersalah membaca’ insiden itu dan melakukan kesilapan dengan meminta Coote ke monitor.
Beliau mendedahkan perkara itu bersama bekas pemain tengah Everton, Leon Osman, di program Match Officials Mic’d Up.
Bekas pengadil yang mengendalikan perlawanan akhir Piala Dunia 2010 antara Sepanyol dan Belanda itu berkata: “Saya rasa ini adalah kesalahan pembacaan oleh VAR, yang biasanya boleh dipercayai.
“VAR terlalu fokus dalam situasi ini, pada kaki de Ligt yang datang ke arah Danny Ings tanpa menyentuh bola dan melihatnya sebagai satu kekasaran yang jelas.
“Saya rasa ini adalah situasi di mana kita sepatutnya menyerahkan keputusan di atas padang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd