KESUMA Ambil Alih Pengurusan OSC, Permohonan Pekerja Asing Bakal Lebih Mudah & Telus

KESUMA Ambil Alih Pengurusan OSC, Permohonan Pekerja Asing Bakal Lebih Mudah & Telus


Bagi memperkemaskan lagi sistem pengurusan pekerja asing di Malaysia, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kini diberi tanggungjawab untuk menguruskan Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (One Stop Center – OSC).

Keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada 1 Julai lalu itu dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan urusan permohonan kuota pekerja asing menjadi lebih cekap, telus dan sistematik, selain mengurangkan kerenah birokrasi yang sering menjadi rungutan majikan.

Menerusi pengambilalihan tersebut, KESUMA akan melaksanakan beberapa inisiatif strategik termasuk penggunaan modul eQuota melalui Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) sebagai platform digital tunggal bagi menguruskan permohonan kuota pekerja asing.

Menurut kementerian, sistem itu akan mengintegrasikan proses permohonan dengan sistem sedia ada kerajaan sekali gus memudahkan urusan majikan. Selain permohonan boleh dibuat secara dalam talian, penjadualan temu duga juga akan menjadi lebih teratur dan kesesakan di kaunter OSC dijangka dapat dikurangkan.

Dalam masa sama, KESUMA turut akan memulakan pemprosesan kira-kira 22,476 permohonan manual yang tertangguh sebelum ini melalui sistem FWCMS. Langkah itu diharap dapat mempercepatkan kelulusan permohonan yang telah lama menunggu tindakan.

Peluang Rakyat Tempatan Kekal Menjadi Keutamaan

Walaupun sistem pengambilan pekerja asing diperkemas, kerajaan menegaskan bahawa peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia tetap menjadi keutamaan.

Sehubungan itu, majikan masih perlu mengiklankan kekosongan jawatan menerusi portal MYFutureJobs bagi memberi peluang kepada pencari kerja tempatan terlebih dahulu. Hanya selepas proses tersebut dipenuhi dan tiada calon yang sesuai, permohonan kuota pekerja asing akan dipertimbangkan.

Selain itu, setiap permohonan juga perlu mematuhi keperluan Seksyen 60K Akta Kerja 1955, yang mewajibkan majikan memaklumkan pengambilan pekerja asing kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja sebelum kelulusan diberikan.

Langkah ini bertujuan memastikan pengambilan pekerja asing benar-benar dibuat berdasarkan keperluan industri, tanpa menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan.

Bahagian Khas & Cadangan Pusat Transit

Bagi memperkukuhkan lagi tadbir urus, KESUMA akan mewujudkan Bahagian Pengurusan Pekerja Asing yang akan menyelaras aspek dasar, operasi serta naziran OSC.

Pada masa sama, kementerian turut meneliti cadangan mewujudkan Pusat Transit Pekerja Asing bagi menyelaras proses kemasukan pekerja asing ke negara ini dengan lebih teratur.

Cadangan itu akan diperhalusi menerusi sesi libat urus bersama negara-negara sumber pekerja asing serta mengambil kira amalan terbaik yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.

Pengambilalihan OSC oleh KESUMA ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuhkan tadbir urus pengurusan pekerja asing yang sebelum ini melibatkan beberapa agensi berbeza.

Melalui penyelarasan di bawah satu kementerian serta penggunaan sistem digital, kerajaan berharap proses permohonan menjadi lebih pantas, telus dan efisien, sekali gus memenuhi keperluan tenaga kerja industri tanpa mengabaikan kepentingan pekerja tempatan.






Source link

OR

Scroll to Top