Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melaksanakan 10 inisiatif pengubah keadaan atau game changer di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), bagi mendepani berubahan landskap pasaran buruh.
KESUMA memaklumkan ini bagi memastikan tenaga kerja negara bersedia menghadapi perubahan landskap pasaran buruh disebabkan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi, perubahan demografi, ketidaktentuan geopolitik, peralihan ke arah ekonomi hijau serta ekonomi gig.
“Sebagai usaha mendapatkan pandangan secara langsung (mengenai inisiatif game changer) daripada pelbagai pihak, sesi libat urus ini menghimpunkan lebih 1,000 peserta mewakili pelbagai kluster termasuk kementerian, jabatan kerajaan, badan berkanun, syarikat swasta, institusi akademik, sektor e-hailing, badan bukan kerajaan serta persatuan perbankan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan KESUMA susulan program Sesi Libat Urus Belanjawan (SLU) Tahun 2026 anjuran kementerian itu yang disempurnakan Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad serta pengurusan tertinggi kementerian.
Mengenai sesi libat urus berkenaan, KESUMA memaklumkan ia adalah sebahagian daripada pendekatan inklusif Kerajaan MADANI dalam merangka belanjawan yang berpaksikan rakyat.
Menurutnya, Belanjawan 2026 merupakan belanjawan pertama di bawah RMK13 yang berteraskan tiga tonggak utama iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai dan tadbir urus baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd