New Delhi: Kalia Devi adalah antara ratusan orang awam yang ketakutan dan dipindahkan sebelum subuh dari kawasan tembakan di sepanjang sempadan barat laut India dengan Pakistan apabila pertempuran antara dua negara jiran bersenjata nuklear itu semakin memuncak.
India menyatakan sekurang-kurangnya 13 orang awamnya terbunuh dan 59 lagi cedera akibat tembakan rentas sempadan dan pengeboman, manakala Pakistan mendakwa sekurang-kurangnya 31 orang awamnya terkorban dan kira-kira 50 lagi cedera akibat serangan udara dan artileri India.
“Ketakutan sudah memasuki hati saya,” kata Devi, 50, yang duduk di tangga sebuah kolej di pinggir bandar Jammu yang beberapa minggu lalu masih dipenuhi pelajar.
Devi, seorang buruh harian, baru-baru ini datang bersama 15 saudara dari Bihar, salah satu wilayah termiskin di India, untuk mencari pekerjaan di kampung Akhnoor berhampiran Jammu di bahagian Kashmir.
“Kita harus hidup dahulu. Jika (konflik) ini tidak diselesaikan dengan segera, kami mungkin terpaksa mempertimbangkan untuk pergi,” katanya.
Ratusan orang sepertinya sudah dipindahkan dengan bas pada Rabu dari dua kampung sempadan yang sebelum ini pernah terperangkap dalam tembakan.
Mereka dipindahkan ke sebuah kolej sejauh 20 kilometer dari sempadan yang diubah menjadi tempat perlindungan untuk orang dipindahkan.
Letupan kedengaran di seluruh Jammu lewat Khamis dalam apa yang dikatakan oleh sumber tentera India sebagai serangan dron oleh Pakistan di seluruh rantau itu pada hari kedua pertempuran besar antara kuasa Asia Selatan yang renggang itu.
Kuasa-kuasa besar dunia dari Amerika Syarikat (AS) ke Rusia dan China menyeru supaya bertenang di salah satu kawasan konflik nuklear yang paling berbahaya dan paling padat penduduk di dunia.
Usaha memindahkan penduduk kampung dari sempadan adalah untuk menyelamatkan nyawa orang awam, menurut seorang pegawai polis India yang tidak mahu namanya disiarkan.
“Malam sebelumnya, tembakan boleh didengari selama sejam tanpa henti pada tengah malam dan satu lagi tembakan berterusan pada jam 4 pagi (waktu tempatan),” kata Pratima Devi, salah seorang yang dipindahkan.
Bilik darjah kolej diubah menjadi bilik tidur dengan tilam nipis bagi menampung kira-kira 400 orang, menggantikan meja dan kerusi.
Pihak berkuasa India menugaskan dua doktor ke fasiliti itu dan menyediakan makanan asas.
Di kawasan berhampiran, sebuah pusat kerohanian Hindu turut diubah menjadi tempat perlindungan bagi ratusan orang dipindahkan yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Kebanyakan orang yang dipindahkan adalah petani atau buruh harian yang memperoleh purata pendapatan kurang daripada $60 (RM259) sebulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd