am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keterjaminan ubat di rantau ASEAN amat penting demi kebaikan ekonomi dan kesihatan penduduk di rantau ini, terutama dalam menghadapi situasi ketidaktentuan, seperti perang, bencana alam, pandemik dan ketidakstabilan geopolitik.
Justeru, Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) memuji tindakan pantas kerajaan, melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk mewujudkan stok penimbal strategik nasional bagi memastikan keterjaminan ubat dan peranti perubatan, susulan krisis tenaga global akibat konflik Asia Barat.
Presidennya, Amrahi Buang berkata, MPS memulakan terma keterjaminan ubat ketika era pandemik COVID-19 dan sejak itu, menyeru kerajaan melaksanakan tindakan strategik bagi memastikan keterjaminan ubat menjadi satu agenda utama dalam negara.
Susulan itu, kerajaan mengambil tindakan tertentu untuk merealisasikan perkara berkenaan.
“Tindakan MTEN ini adalah satu langkah yang baik, yang mana stok penimbal akan dilakukan segera. Selain itu, tindakan MyMedSecure adalah satu langkah yang strategik dan wajar.
“Ia bukan baharu dan membabitkan semua pemegang taruh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan akan mewujudkan stok penimbal strategik nasional bagi memastikan keterjaminan ubat dan peranti perubatan negara susulan krisis tenaga global akibat konflik Asia Barat.
Ia antara langkah mampan untuk jangka masa sederhana dan panjang, selain beralih daripada penggunaan bahan mentah resin kepada polimer bagi sesetengah produk.
Beliau berkata, langkah lain, termasuk membangunkan dasar keterjaminan ubat negara melalui MyMedSecure serta memperkasa industri ubat dan peranti perubatan tempatan.
Mengulas lanjut, Amrahi berkata, kerajaan juga perlu fokus kepada bidang tertentu, contohnya gelatin halal, selain kerjasama dalam ASEAN bagi pengeluaran ubat.
“Malaysia ada kelebihan nilai dalam bidang pengeluaran ubat, sama ada melakukannya sendiri atau menjalin kerjasama dengan syarikat global, termasuk di Eropah, Cina dan India,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan supaya satu dasar dan tindakan bersepadu serta efisyen diwujudkan bagi pembelian ubat-ubatan dalam paten.
“Rundingan terus antara kerajaan dan syarikat terbabit diperlukan untuk mendapatkan harga yang murah. Kaedah ini perlu dikawal rapi oleh kerajaan.
“Sokongan kerajaan kepada pembuatan dan pengeluaran ubat generik dalam negara juga perlu dipertingkat. Pengkhususan tindakan untuk menghasilkan Bahan Aktif Farmaseutikal (API) dan eksipien tertentu wajar diperluas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






