PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim yakin pasukannya lebih baik tanpa terikat dengan kempen Eropah musim ini.
United terlepas aksi di pentas Eropah buat kali kedua sejak kelab Inggeris itu kembali menyertai saingan Uefa pada 1990 selepas menamatkan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ke-15 serta tewas di final Liga Europa kepada Tottenham.
Ketiadaan itu memaksa United memulakan kempen Piala Liga lebih awal menentang kelab Liga Dua Grimsby pada Rabu yang menjadi pertemuan pertama sejak 1948.
Namun bagi Amorim, perkara itu bukan masalah besar sebaliknya memberi ruang berharga untuknya bekerja bersama pemain setiap pertengahan minggu.
“Kami sebenarnya belum bersedia bermain di Eropah dan Liga Perdana serentak. Pasukan ini perlukan masa untuk berkembang,” katanya.
United kali terakhir bermula di pusingan kedua ialah pada 2014 yang berakhir dengan kekalahan 0-4 kepada MK Dons ketika itu.
Menghadapi jadual padat minggu ini, Amorim mengesahkan akan melakukan rombakan ke atas skuad yang sekadar seri 1-1 menentang Fulham, Sabtu lalu.
“Kami ada tiga perlawanan minggu ini dan ramai pemain berkualiti. Jadi kami perlu lakukan pertukaran untuk cuba menang setiap perlawanan,” ujarnya.
Antara yang dijangka diberi peluang beraksi ialah Kobbie Mainoo, Harry Maguire, Manuel Ugarte dan Joshua Zirkzee, selain penjaga gol Andre Onana. Beberapa pemain muda seperti Ayden Heaven dan Tyler Fredricson juga berpeluang diturunkan.
Sementara itu, pertahanan serba boleh Morocco, Noussair Mazraoui masih dalam proses pemulihan dan dijangka belum cergas sepenuhnya untuk aksi di Blundell Park.
“Dia hampir pulih. Kami hanya mahu pastikan tiada masalah berulang sebelum dia kembali bermain,” kata Amorim.
Dalam masa sama, penyerang Rasmus Hojlund dijangka tidak diturunkan kerana rundingan perpindahan pinjaman ke juara Serie A, Napoli semakin hampir dimuktamadkan. Situasi itu lebih cepat berbanding empat lagi pemain dalam ‘skuad buangan’ Amorim iaitu Antony, Jadon Sancho, Alejandro Garnacho dan Tyrell Malacia.
United setakat ini hanya mengutip satu mata daripada dua aksi pembukaan liga selepas tewas kepada Arsenal pada minggu pertama, dan Amorim dilihat perlu memberi tumpuan serius dalam Piala Liga kerana juara bakal mendapat tiket ke Eropah.