Dania (kanan) tonggak utama dalam acara beregu wanita, beregu campuran serta saingan berpasukan remaja. Foto: BAM
SKUAD badminton negara berdepan cabaran besar menjelang Kejuaraan Remaja Dunia 2025 di Guwahati, Assam, India dari 6 hingga 19 Oktober selepas kehilangan sandaran utama, Dania Sofea Zaidi yang mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL).
Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak mengakui ketiadaan pemain berusia 18 tahun itu memberi impak besar kerana Dania sebelum ini menjadi tonggak utama dalam acara beregu wanita, beregu campuran serta saingan berpasukan.
“Realitinya, memang dia sangat diperlukan. Dalam konteks Kejuaraan Remaja Dunia, Dania amat penting untuk kedua-dua acara beregu dan juga perlawanan berpasukan.
“Selalunya dia beraksi dalam kedua-dua kategori, tetapi apabila dia tiada, kita kena terima hakikat itu, cari pengganti yang sesuai dan bina semula kombinasi,” katanya selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Rosman menegaskan fokus utama kini adalah memastikan proses pemulihan Dania berjalan sempurna agar dia dapat kembali ke gelanggang lebih awal daripada jangkaan.
“Setakat ini, perkembangannya positif, malah dengan kerjasama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Institut Sukan Negara (ISN), proses pemulihannya diuruskan secara teratur dan rapi.
“Sekiranya semuanya berjalan dengan baik, dia diharap dapat kembali secepat mungkin,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Skuad badminton negara berdepan cabaran besar menjelang Kejuaraan Remaja Dunia 2025 di India kerana kecederaan ligamen Dania Sofea Zaidi
- Dania merupakan tonggak utama dalam acara beregu wanita dan campuran serta saingan berpasukan
- Kehilangannya diakui sebagai impak besar dan mencetuskan keperluan mencari pengganti serta membina semula kombinasi
- Fokus utama adalah memastikan proses pemulihan Dania berjalan sempurna untuk kembali ke gelanggang secepat mungkin
- Perkembangan pemulihan Dania positif dengan kerjasama Persatuan Badminton Malaysia dan Institut Sukan Negara