redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kepala Batas: “Dia anak saudara yang saya sayang, membesar dengan tangan saya jadi bila arwah pergi (meninggal dunia) memang berat untuk saya terima”.
Itu kata Samad Saad, 48, bapa saudara Allahyarham Mustaqqeem Mansoor yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat, Muallim, Perak, 16 Oktober lalu.
Perkongsian Samad di TikTok baru-baru ini meruntun hati warganet selepas berkongsi barangan peribadi milik Mustaqqeem yang siap dibersihkan dan dijemur di halaman rumah.
Dalam video berkenaan, kedengaran suara Samad yang seolah menahan sebak dan kelihatan tangannya turut menggigil ketika memegang pinggan plastik dan sudu digunakan anak saudaranya.
Berkongsi kisah itu, Samad berkata, dia memang rapat dengan Mustaqqeem kerana pernah membantu menjaga anak saudaranya itu ketika Allahyarham di bangku sekolah.
Disebabkan itu, Samad sangat terkesan selepas menerima berita kematian Mustaqqeem dan barangan peribadi Allahyarham yang diserahkan pihak polis.
“Hanya Allah SWT saja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika membersihkan barangan arwah kelmarin.
“Waktu basuh (bersihkan), saya terbayang betapa terseksanya arwah sebelum dia meninggal dunia kerana baju hujannya ada kesan darah manakala tapak kasut serta tumitnya sudah rosak.
“Jadi macam mana kakinya tidak melecet waktu berjalan dan pasti dia alami kekejangan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Samad berkata, sebahagian barangan sudah diserahkan kepada adik Mustaqqeem, Muzammeer Mansor, 33, untuk disimpan dan dia hanya mengambil satu item saja iaitu selipar kepunyaan Allahyarham.
“Selepas basuh, saya jemur untuk keringkan dan siap lipat baju sebelum serahkan kepada adik arwah.
“Saya hanya ambil selipar ‘Jepun’ dia (Allahyarham) saja…saya ambil sebab nak ingat dia, nak pakai pergi masjid dan surau.
“Tak ada siapa boleh sentuh kerana ia cukup sentimental bagi saya,” katanya.
Berkongsi kenangan dengan Mustaqqeem, Samad berkata, kali terakhirnya bertemu dengan Allahyarham adalah pada 4 Oktober lalu ketika menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga.
Katanya, Mustaqqeem kelihatan ceria berbanding biasa namun dia tidak menyangka ia akan menjadi pertemuan terakhir mereka.
“Saya tak pernah ambil gambarnya tapi hari berkenaan, saya ambil gambar arwah dengan isteri serta sepupunya dan minta dia hantar kepada ibunya.
“Nampak dia suka gambar itu cuma kami tak sempat bergambar bersama dan terkesan sangat sebab itu kali terakhir kami berjumpa… saya pun tak tahu dia akan pergi buat selamanya.
“Jujurnya sampai sekarang saya fobia tengok hujan kerana tertanya macam mana anak saudara saya bertahan ketika itu.
“Saya pun tak sanggup nak baca berita berkaitan arwah yang dikongsi kerana sedih bila mengenangkannya. Tapi sebagai bapa saudara, saya doakan arwah tenang di alam sana,” katanya yang kini bertugas sebagai guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Stowell di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Dalam kejadian pada 10 Oktober lalu, Mustaqqeem bersama lapan rakan dibantu dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian ke Gunung Liang bermula di laluan Bukit Fraser, Bentong.
Bagaimanapun pendaki berkenaan dilaporkan tidak pulang selepas tamat aktiviti pendakian.
Berikutan itu, isteri mangsa, Nur Faratin Mohd Othman, 31, melaporkan kehilangannya kepada polis.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilancarkan.
Mayat Mustaqqeem ditemui jam 3.30 petang di puncak gunung berkenaan dan punca kematian disebabkan oleh hipotermia (kesejukan melampau).
© New Straits Times Press (M) Bhd






