Banda Raya Gaza: Ketua polis Gaza dan timbalannya terbunuh dalam serangan udara Israel di bandar selatan Khan Younis pada Khamis, kata Kementerian Dalam Negeri.
Kenyataan kementerian mengesahkan bahawa Mahmoud Salah dan timbalannya Hussam Shahwan terbunuh dalam serangan subuh oleh tentera Israel, lapor Anadolu Agency.
Beberapa orang dilaporkan terbunuh dalam serangan itu.
Kementerian menuduh tentera Israel “sengaja berusaha untuk menyebarkan huru-hara di Gaza dan memburukkan lagi penderitaan kemanusiaan rakyatnya.”
Ia menyebut pembunuhan kedua-dua pegawai polis itu “suatu pengabaian terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa” dengan menyasarkan pasukan polis “walaupun berperanan sebagai badan perlindungan awam.”
Tiada komen daripada Israel mengenai serangan itu.
Walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menyeru gencatan senjata segera, tentera Israel meneruskan serangan ke atas Gaza, yang telah mengakibatkan kematian lebih 45,550 mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Oktober 2023.
Pada November, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant kerana jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana perangnya terhadap kawasan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd