Milan: Lebih 12 orang penyokong tegar AC Milan dan Inter Milan bakal menghadapi perbicaraan di mahkamah bermula hari ini atas pelbagai tuduhan jenayah terancang susulan siasatan ke atas aktiviti haram kumpulan ‘ultras’ kedua-dua kelab Serie A itu.
Mahkamah khas berhampiran penjara San Vittore di tengah Milan akan menjadi lokasi perbicaraan pantas terhadap 16 daripada 19 individu yang ditahan tahun lalu atas kesalahan serius termasuk konspirasi jenayah yang terarah dengan kaedah mafia – tuduhan yang biasanya dikaitkan dengan organisasi jenayah paling berkuasa di Itali.
Antara aktiviti jenayah yang didakwa dilakukan membabitkan kawalan perniagaan haram di sekitar Stadium San Siro pada hari perlawanan – daripada penjualan tiket di pasaran gelap, kutipan wang daripada individu tanpa tiket untuk memasuki stadium secara haram, hingga kawalan tempat letak kereta dan gerai jualan di sekitar venue berkenaan.
Dua individu utama yang dibicarakan ialah Renato Bosetti dan Luca Lucci, bekas ketua ultras Inter dan Milan yang ditahan pada September lalu.
Bosetti mengambil alih kepimpinan kumpulan ‘Curva Nord’ – tempat berkumpul penyokong tegar Inter – selepas pembunuhan Antonio Bellocco, seorang ahli keluarga mafia ‘Ndrangheta dari Calabria.
Bellocco ditikam hingga mati oleh Andrea Beretta, individu yang mempunyai rekod jenayah panjang dan sebelum ini mengetuai ultras Inter bersama Marco Ferdico.
Beretta, yang sudah pun dipenjarakan atas pembunuhan Bellocco ketika penahanan dilakukan, serta Ferdico turut dibicarakan dalam kes ini.
Siasatan mendapati mereka membawa masuk Bellocco untuk menyingkirkan kumpulan pesaing yang mempunyai kaitan dengan kumpulan ekstrem kanan, selepas bekas ketua ultras Inter, Vittorio Boiocchi ditembak mati di luar rumahnya pada Oktober 2022.
Boiocchi, 69, yang terkenal sebagai penjenayah tegar, sebelum ini didakwa memperoleh pendapatan sekitar €80,000 (RM409,000) sebulan hasil aktiviti haram menerusi kumpulan ultras.
Namun, dokumen pendakwaan tidak menunjukkan jumlah sebesar itu seperti yang dikaitkan dengan aktiviti mafia tradisional seperti penyeludupan dadah dan senjata atau pengubahan wang haram.
Perbicaraan ini dijalankan menerusi prosedur pantas ‘rito abbreviato’, di mana keputusan dibuat berdasarkan bukti pendakwa tanpa perbahasan antara pasukan pendakwa dan pembelaan.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berpeluang menerima pengurangan hukuman sebanyak satu pertiga, namun ini tidak semestinya bermaksud mereka mengaku bersalah.
Tiga lagi individu yang turut ditahan tahun lalu sudah pun memulakan perbicaraan bulan lalu, termasuk Francesco Lucci, adik kepada Luca Lucci, yang pernah mengetuai ultras Milan ketika abangnya berdepan pelbagai masalah undang-undang termasuk kesalahan dadah dan serangan yang menyebabkan seorang penyokong Inter buta sebelum membunuh diri.
Bagaimanapun, kedua-dua kelab Serie A itu tidak didakwa atas sebarang kesalahan berkaitan aktiviti jenayah yang disiasat, manakala ultras Milan yang terbabit tidak berdepan pertuduhan berkaitan mafia.
© New Straits Times Press (M) Bhd