Pada era digital, meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tanpa gangguan skrin menjadi semakin sukar, gajet seperti telefon pintar dan tablet sentiasa mengiringi. Kebanyakan remaja dan orang dewasa memiliki peranti sendiri. Kanak-kanak kecil juga sering diberikan gajet, sama ada untuk pembelajaran, hiburan, atau sebagai alat membantu ibu bapa menenangkan mereka. Inilah bukti gajet bukan lagi sekadar alat komunikasi, tetapi telah menjadi alat menyediakan pelbagai fungsi dalam kehidupan seharian. Namun, adakah ia benar-benar membantu dalam membentuk masa berkualiti bersama keluarga atau sebaliknya menjadi penghalang?
Teknologi telah mewujudkan komunikasi tanpa sempadan dan membolehkan ahli keluarga yang berjauhan tetap berhubung dengan mudah. Gajet memberikan akses lebih luas dan mudah untuk ahli keluarga meluangkan masa berkualiti melalui teknologi seperti bermain permainan video atau menonton filem bersama. Penggunaan gajet boleh dianggap suatu pendekatan baharu untuk mendapatkan masa kualiti bersama keluarga. Pendekatan ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui penggunaan gajet secara seimbang dan terkawal.
Namun, pada masa sama, ia boleh menyebabkan pengurangan interaksi fizikal dalam persekitaran rumah. Di era ini, ahli keluarga cenderung untuk lebih asyik dengan telefon masing-masing ketika meluangkan masa bersama. Menoleh kembali kehidupan tanpa gajet, interaksi secara bersemuka antara ahli keluarga lebih banyak berlaku melalui perbualan dan aktiviti bersama.
Namun kini, kehidupan yang sibuk dan tekanan harian sering membuatkan individu mencari hiburan atau mendapatkan berita melalui gajet. Malah, ketiadaan peraturan yang jelas mengenai penggunaan gajet di rumah ketika bersama keluarga turut menyumbang masalah ini. Pada masa ini, interaksi lebih banyak berlaku dalam dunia digital berbanding secara bersemuka yang membawa perubahan ketara dalam hubungan kekeluargaan.
Kesannya, hubungan kekeluargaan akan renggang apabila ahli keluarga berasa diabaikan dan terasing akibat kurangnya perhatian serta komunikasi yang bermakna. Contohnya, apabila seorang anak ingin bercerita tentang harinya di sekolah, tetapi ibu bapa lebih fokus pada skrin telefon, anak itu rasa tidak dihargai dan mula menjauh.
Aktiviti yang dahulunya menjadi ruang untuk membina keakraban, kini semakin terpinggir. Ini boleh mengurangkan keterlibatan emosi seperti empati, sokongan, dan kasih sayang dalam keluarga kerana ahli keluarga tidak lagi meluangkan masa untuk berbual atau berkongsi cerita secara langsung. Hubungan yang sepatutnya menjadi tempat berteduh dan sokongan emosi akhirnya menjadi sekadar kehadiran fizikal tanpa keterikatan erat.
Jika situasi ini berterusan dalam jangka masa panjang, ia bukan sahaja menjejaskan hubungan kekeluargaan, tetapi juga menjejaskan perkembangan sosial dan pembangunan emosi ahli keluarga terutama kanak- kanak. Kanak-kanak perlukan interaksi fizikal untuk membina kemahiran sosial, seperti mengenali dan memahami isyarat emosi serta mentafsir isyarat sosial melalui ekspresi wajah dan bahasa tubuh.
Kanak-kanak yang kurang berinteraksi secara langsung mungkin sukar mengekspresikan emosi mereka, lebih selesa berkomunikasi melalui skrin akan menghadapi cabaran dalam membentuk hubungan yang erat dengan keluarga serta rakan sebaya. Keadaan ini menyekat perkembangan sosial serta pembangunan emosi kerana mereka tidak mendapat peluang mencukupi untuk berinteraksi.
Tanda-tanda awal keluarga yang menghadapi masalah komunikasi kerana penggunaan gajet boleh diperhatikan melalui sikap serta perubahan emosi. Daripada sikap, amalan berbual dan berbincang tentang sesuatu isu bersama ahli keluarga semakin jarang dipraktikan, dan ahli keluarga juga kurang melakukan aktiviti bersama, sebaliknya mereka lebih memilih untuk senyap bermain gajet semasa berkumpul terutama di waktu makan.
Tanda-tanda emosi pula jelas kelihatan apabila wujudnya frustasi dan ketidakpuasan, terutama apabila melihat ahli keluarga sibuk bermain gajet. Keterikatan dan sokongan emosi dalam keluarga turut merenggang kerana setiap ahli keluarga sibuk dengan urusan masing-masing.
Sekiranya terdapat tanda seperti ini, adalah penting bagi ahli keluarga untuk mengambil langkah awal dan memainkan peranan dalam mengawal penggunaan gajet di kalangan mereka. Salah satu strategi yang boleh digunakan ialah mengadakan perbincangan terbuka mengenai penggunaan gajet dalam keluarga untuk memastikan setiap ahli memahami kesan negatif penggunaan gajet yang berlebihan terhadap hubungan dan komunikasi keluarga. Selepas perbincangan, langkah seterusnya ialah menetapkan peraturan atau waktu tertentu serta zon tanpa gajet bagi meningkatkan interaksi keluarga.
Selain itu, ibu bapa boleh mengatur aktiviti luar, permainan keluarga, aktiviti kreatif, atau sukarela yang melibatkan semua ahli keluarga. Ibu bapa juga perlu menjadi contoh yang baik dengan mengurangkan penggunaan gajet semasa masa kualiti keluarga dan sentiasa menunjukkan kepada anak bahawa komunikasi secara langsung seperti berbual, adalah sangat penting.
Namun, jika terdapat ketagihan penggunaan gajet, penting mendapatkan bantuan profesional. Walaupun ini bukan mudah, dengan sokongan dan galakan yang betul, ia mampu mendorong ahli keluarga untuk sama-sama memperbaiki dan meningkatkan masa berkualiti bersama keluarga.
Penulis Prof Madya Dr Azmawaty Mohamad Nor adalah Timbalan Dekan Ijazah Dasar, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM); manakala Nor Aisyah Md Nor adalah Kaunselor Pelatih di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, UM
© New Straits Times Press (M) Bhd