aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu lelaki remaja negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai memberi khabar gembira buat kem badminton apabila berjaya menamatkan kemarau 13 tahun kejuaraan di Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Nangchang, China.
Turun selaku beregu pilihan, Khai Xing-Aaron menepati ramalan apabila menewaskan pilihan kedua kejohanan dari China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 21-18, 15-21, 21-18 dalam perlawanan yang cukup mendebarkan selama 65 minit di Pusat Sukan Nanchang, China hari ini.
“Kemenangan ini cukup menggembirakan dan saya hanya nak balik Malaysia, nak makan sepuas-puasnya dan jumpa keluarga,” kata Khai Xing, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menurutnya, kejayaan itu bagaikan mimpi menjadi kenyataan, terutamanya selepas gagal pada percubaan pertamanya pada edisi tahun lalu.
“Secara keseluruhan, kami tidak mempamerkan permainan terbaik, di set kedua kami tidak stabil, tetapi kami perlahan-lahan mengawal situasi.
“Walaupun mereka mengejar dan memberi tekanan, kami berjaya mengatasinya,” kata Khai Xing.
Dalam perlawanan akhir itu, Khai Xin-Aaron kelihatan sedikit goyah apabila ketinggalan 1-8 di set pertama sebelum mencipta kebangkitan menakjubkan untuk menang 21-18.
Namun di set kedua pasangan China bangkit untuk membawa perlawanan ke set penentuan apabila berjaya mencatat kemenangan 21-15.
Tidak mahu melepas peluang terbaik, Khai Xin-Aaron mula menyusun rentak di set ketiga untuk menang sekali gus berjaya membalas dendam kekalahan mereka kepada Ke Yuan-Xiang Yi pada aksi final Kejohanan Remaja Asia di Indonesia Julai lalu.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia bergelar juara dunia remaja dalam acara beregu lelaki adalah pada 2011 menerusi gandingan Nelson Heg-Teo Ee Yi.
Sejak dipertandingkan pada 1992, skuad remaja negara berjaya meraih tujuh gelaran bermula dengan gandingan Jeremy Gan-Chan Chong Ming pada edisi 1996.
Sementara itu, hasrat beregu wanita negara untuk melakar sejarah bergelar juara tidak kesampaian selepas tewas di pentas final.Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi tewas kepada pasangan Jepun, Ririna Hiramoto-Aya Tamaki straight set 17-21, 17-21 dalam tempoh 43 minit.
“Kami minta maaf kepada peminat badminton tanah air kerana gagal bawa pulang pingat emas.
“Meskipun ada peluang untuk bangkit di set kedua, mereka (Jepun) tukar taktikal dan bermain lebih laju lalu kami tidak dapat mengikuti rentak mereka,” kata Dania, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
© New Straits Times Press (M) Bhd