Khairil Anwar anak bongsu kami yang sangat baik – Jamaludin

Khairil Anwar anak bongsu kami yang sangat baik – Jamaludin


KUALA LUMPUR: Bapa kepada penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Khairil Anwar Jamaludin, 20, yang meninggal dunia dalam kemalangan di hadapan universiti itu tidak menyangka permintaan anaknya untuk bergambar bersama semasa dihantar pulang ke kampus Sabtu lalu menjadi  gambar terakhir dirakam bersama. 

Jamaludin Hussin, 53, berkata, ketika itu hanya dia dan isterinya, Norma Mohammed Nor, 52, pergi ke Dungun, Terengganu bagi menghantar anak bongsu daripada lima beradik itu ke kampus bagi memulakan semester ketiga pengajian. 

“Semasa hantar dia ke sana, dia tidak menunjukkan apa-apa perubahan tetapi dia ajak kami bergambar bersama.

“Sebelum ini dia jarang ajak bergambar, tetapi ketika itu dia ajak bergambar kerana kebetulan hanya kami berdua yang hantar dia balik ke kampus disebabkan kakak-kakaknya bekerja,” katanya selepas pengebumian Allahyarham Khairil Anwar di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini hari ini. 

Selain itu, Jamaludin berkata, Khairil Anwar yang mesra dipanggil ‘adik’ itu merupakan seorang anak yang manja dan mempunyai hubungan yang rapat dengan ibunya. 

“Arwah seorang anak yang bagus, dia tidak pernah bangkang apa kata-kata ibu bapa. Kalau kita tegur dia kata ‘ya’ sahaja. 

“Dia memang anak yang sangat baik  dan juga lemah lembut,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Jamaludin bersyukur kerana banyak pihak tampil membantu mempermudahkan proses pengebumian anak bongsunya itu. 

Terdahulu, jenazah Khairil Anwar tiba di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pukul 4.25 petang selepas disembahyangkan kali kedua di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan, Ampang, Selangor. 

Jenazah selesai dikebumikan kira-kira pukul 4.45 petang. 

Khairil Anwar merupakan salah seorang penuntut UiTM Dungun yang maut dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan malam tadi. 

Turut terkorban ialah penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20 dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan.

Selain itu, rakan mereka, Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, cedera parah. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top