AMPANG – Bapa kepada salah seorang penuntut UiTM Dungun, yang terkorban dalam kemalangan maut malam tadi tidak menyangka ajakan bergambar ketika menghantar pulang anaknya ke Kampus Sabtu lalu merupakan gambar terakhir mereka bersama.
Ia kerana, menurut Jamaluddin Hussin, 53, Khairil Anwar jarang mahu bergambar.
“Semasa hantar dia (arwah) ke kampus untuk memulakan semester ketiganya di situ, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi Khairil ada ajak gambar bersama. Sebelum ini, dia jarang ajak bergambar.
“Kebetulan ketika itu, hanya saya dan isteri, Norma Mohammed Nor, yang hantar dia pulang kerana kakak-kakaknya yang lain bekerja,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian arwah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, hari ini.
Khairil, yang lebih mesra dipanggil adik merupakan anak bongsu daripada lima adik- beradik dan merupakan seorang yang sangat manja dan rapat dengan ibunya.
“Arwah seorang anak yang sangat bagus, tidak pernah sekalipun dia membangkang kata-kata ibu bapa. Kalau kita tegur, dia cuma akan berkata ‘ya’ sahaja. Khairil memang anak yang baik dan lemah lembut,” tambahnya.
Jamaluddin turut meluahkan rasa syukur kerana segala urusan pengebumian arwah anaknya berjalan dengan baik dan dia menghargai segala bantuan terutamanya pihak UiTM yang memastikan kelancaran urusan jenazah dari Dungun ke Ampang.
Jenazah Pelajar Ijazah Sarjana Muda Fakulti Perakaunan itu tiba di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada pukul 4.25 petang tadi selepas disolatkan kali kedua di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan, Ampang.
Urusan pengebumian jenazah selesai kirai-kira jam 4.45 petang tadi.
Arwah Khairil Anwar merupakan salah seorang pelajar UiTM Dungun yang maut selepas dirempuh sebuah SUV di hadapan universiti itu kira-kira jam 8 malam, semalam.
Dua lagi mangsa yang meninggal dunia ialah Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 manakala rakan mereka, Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, cedera parah.- MalaysiaGazette