Khairul Hafiz (dua kanan) mahu memberi fokus kepada pasukan kuartet negara menjelang Sukan SEA Thailand akhir tahun ini. Foto Agensi
BEKAS raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan memberi bayangan bakal menarik diri daripada acara 100 meter (m) pada Sukan SEA 2025 di Thailand, demi memberi laluan kepada pelari muda dan menumpukan sepenuhnya kepada skuad 4x100m kuartet negara.
Pelari berusia 27 tahun itu kini sedang menjalani proses pemulihan kecederaan hamstring kiri yang dialaminya ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Korea Selatan baru-baru ini.
“Saya mungkin tidak turun untuk acara 100m individu. Biar pelari muda ambil tempat itu. Fokus saya hanya satu iaitu bantu pasukan kuartet,” katanya.
Menurutnya, hasil imbasan di Institut Sukan Negara (ISN) menunjukkan koyakan otot sepanjang 2.35 sentimeter dan kini beliau sedang menjalani rawatan Platelet-Rich Plasma (PRP) bagi mempercepatkan pemulihan.
Khairul Hafiz atau lebih dikenali sebagai The Speedy Jantan bagaimanapun kekal positif dan menyasarkan untuk kembali beraksi di Kejohanan Terbuka Malaysia Ogos ini yang turut menjadi medan pemilihan ke Sukan SEA.
“Kalau saya boleh catat 10.49 hingga 10.5 saat, ia cukup baik untuk bantu kuartet negara. Saya harap sempat pulih sepenuhnya menjelang Ogos,” ujarnya.
Skuad kuartet 4x100m dijangka menjadi antara sandaran utama kem olahraga negara dalam misi membawa pulang pingat di pentas serantau.