PETARUNG muda muay thai, Khairy Arfan atau lebih dikenali sebagai Khairy KL7, berikrar untuk memberikan aksi terbaik apabila turun menentang Tuah Black Owl dalam kejohanan RF3 Super Champion Muaythai Kuda Merah di Stadium Titiwangsa, Selasa ini.
Khairy yang baharu sahaja menamatkan saingan dalam satu kejohanan muay thai minggu lalu berkata, persiapannya kini berada pada tahap maksimum.
“Alhamdulillah, persiapan saya 100 peratus siap. Minggu lepas baru habis fight, jadi proses pemulihan sudah selesai dan sekarang fokus penuh untuk perlawanan pada 9 September nanti.
“Tinggal beberapa hari sahaja lagi, saya sudah benar-benar bersedia,” katanya.
Menurut Khairy, pertemuan dengan Tuah dijangka sengit kerana kedua-duanya memiliki kelebihan masing-masing, namun dia optimis mampu mencatat kemenangan.
“Setiap lawan ada kekuatan tersendiri. Saya juga ada kelebihan terutama daripada aspek tumbukan, tendangan dan serangan siku. Apa pun, saya perlu bijak menukar taktikal mengikut situasi di gelanggang,” jelasnya.
Anak muda berusia 20 tahun itu mendedahkan perjalanan kariernya banyak dipengaruhi abang yang menjadi sumber inspirasi sejak awal pembabitannya dalam muay thai pada usia 10 tahun.
“Idola saya adalah abang sendiri, Khuzairi Azim. Tanpa dia mungkin saya tidak ada semangat untuk terus memperbaiki diri. Dia selalu ada di sisi saya setiap kali fight dan menjadi pembantu utama saya,” katanya.
Khairy yang bakal membuat penampilan profesional ke-10 berharap kemenangan kali ini dapat dihadiahkan kepada penyokong, keluarga dan pasukan yang sentiasa berada di belakangnya.
“Kalau rezeki berpihak kepada saya, kemenangan ini untuk semua yang sentiasa menyokong – ibu bapa, abang-abang, rakan serta pasukan saya,” ujarnya.
Dalam masa sama, Khairy turut menyasarkan untuk melangkah ke pentas antarabangsa tahun depan selepas mengharungi beberapa aksi profesional termasuk di Patong, Thailand, Julai lalu.
Sebagai rekod, Sinar Harian merupakan media rasmi kejohanan ini.
9 SEPTEMBER
Khairy KL7 lwn Tuah Black Owl
Arep Syahril Muaythai Fitnesslab lwn Sajjad (Iraq)
Sani Anak Kepak Sang Saka Biru lwn Wanohai Komando GGK ATM
Jengsi Woma Komando GGK ATM lwn Sheikh Komando Pasukan TUDM (Pro Boxing)
Amisha Muaythai Fitnesslab lwn Milena Calazans (Brazil)
Zahran (Yaman) lwn Nichow (Thailand)
Izat Zaki Aymas Pallas Phet Muaythai lwn Long Achert (Kemboja)