Pavilion Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjadi antara fokus utama di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 dengan menampilkan pelbagai inisiatif dan keupayaan industri pertahanan negara.

MINDEF berkata, pavilion itu dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.
“Tapak ruang pameran Pavilion MINDEF kali ini menekankan pameran berkenaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), Teknologi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Pertahanan, Projek Pertahanan Nasional, Peranan Majlis Industri Pertahanan (MIP) dan portal Industri Pertahanan (MyIP),” kata MINDEF dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MINDEF, pavilion tersebut turut menjadi platform untuk mempromosikan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027 melalui inisiatif Road to LIMA 2027.
“MINDEF mengambil peluang untuk mempromosikan acara LIMA 2027 melalui penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada Ketua Pengarah Ekesekutif syarikat Global Exhibitions & Conferences Sdn.Bhd. (GEC).
“MINDEF dan syarikat tersebut akan menganjurkan LIMA 2027 edisi ke-18 dengan tema penganjuran pada kali ini, Sustainable Vision Across Sea, Sky & Space.
“Sama seperti penganjuran sebelumnya, segmen aeroangkasa akan diadakan di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) manakala segmen maritim di Resorts World Langkawi (RWL) bermula 20 hingga 24 April 2027,” ujar MINDEF.

Tambahnya, Road to LIMA 2027 menjadi langkah strategik dalam membina momentum menuju pameran maritim dan aeroangkasa bertaraf global itu yang berfungsi sebagai platform interaksi antara delegasi antarabangsa, pemain industri dan komuniti pertahanan di DSA & NATSEC Asia 2026, sekali gus merangsang penglibatan awal, kerjasama serta penyertaan, di samping menyampaikan perkembangan terkini LIMA 2027.
“Pameran LIMA 2027 merupakan platform penting untuk komuniti maritim dan aeroangkasa berhubung, berinteraksi dan berkongsi pengetahuan,” tambah MINDEF lagi.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, Timbalan Menteri Pertahanan; Adly Zahari, Ketua Setiausaha MINDEF; Datuk Lokman Hakim Ali, panglima-panglima perkhidmatan, pengurusan tertinggi serta pegawai-pegawai kanan awam dan tentera.





